Wednesday, 16 May 2012

Mengapa Perlu Menghina Keputusan Majlis Fatwa???



 Oleh : Dr. Asyraf Wajdi Dasuki

Kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai demonstrasi haram Isnin lalu telah mengundang pelbagai bentuk reaksi dan perdebatan di alam siber. Penulis tidaklah bercadang mengulas kenyataan tersebut. Namun terasa amat sedih apabila mereka yang tidak bersetuju, mengambil pendekatan mencela dan membuat pelbagai tohmahan pada anggota Majlis Fatwa Kebangsaan yang terdiri daripada Mufti-mufti seluruh negeri dan ulama-ulama yang diperakui ketinggian ilmu agama dan akhlak mereka.

Tidak salah untuk berbeza pandangan dengan para ulama kerana kedudukan ulama dalam Islam bukannya sebagaimana paderi dan sami dalam agama lain yang dianggap suci dan maksum sehingga tidak boleh dikritik. Dalam Islam darjat maksum hanya pada Nabi SAW. Selain daripada Baginda, manusia terdedah kepada pelbagai bentuk kelemahan termasuklah para ulama. Cuma dalam mengkritik biarlah secara beradab dan berakhlak.

Janganlah hanya kerana kenyataan yang dikeluarkan tidak selari dengan pendirian, kita terus mencela, memaki-hamun dan memfitnah alim ulama secara melampau seperti ‘ulama jahat’, ‘ulama kaki duitan’, ‘ulama suapan’, ‘ulama pemerintah’ dan sebagainya. Sedangkan al-Quran sendiri mengajar kita beberapa prinsip penting dalam menjaga adab dan akhlak sebagai seorang Islam terhadap saudara seislamnya yang lain demi sebuah ukhuwah. Antaranya termasuklah menghindari sikap suka menghina, mencerca, menggelar dengan gelaran buruk, berprasangka, mengumpat dan sentiasa mencari-cari kesalahan orang lain.

 “Wahai orang-orang beriman, janganlah suatu kaum memperlekeh kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang diperlekehkan lebih baik daripada mereka, dan jangan pula wanita-wanita memperlekeh wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita-wanita yang diperlekehkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-gelaran buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah memperoleh iman”. (Al-Hujurat ayat 11).

Seterusnya ALLAH menyarankan agar umat membuang prasangka kerana kebanyakan adalah tidak benar, bahkan satu bentuk dosa. Ini ditegaskan dalam ayat berikut: “Wahai orang-orang beriman, jauhilah prasangka, sesungguhnya sebahagian besar prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain” (Al-Hujurat: 65)

Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan penyimpangan yang membawa kepada perilaku biadab pada ulama seperti yang berlaku ketika ini amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-`ijab bi al-ra’yi’ atau penyakit mengagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak berbahaya yang sedang menjalar dalam urat-saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendukung Islam terdahulu.

Sedangkan kedatangan Islam kepada umat manusia bertujuan membebaskan mereka daripada kejahilan dan kejumudan kepada pemikiran bebas dan merdeka yang dibimbing cahaya wahyu ILAHI. Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam, terutama dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan. Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

p/s: 'Say No' kepada Ulama kepartian yang menggunakan agama seperti barangan dagangan untuk raih keuntungan singkat duniawi.

No comments:

Post a comment