Monday 31 December 2012

Kalimah Allah hanya untuk Islam - JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengulangi kenyataan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata perkara itu telah diputuskan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008.

"Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Othman berkata, kalimah Allah merupakan kalimah suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah dan oleh itu umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini.

Katanya, sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama Islam, umat Islam dan rakyat Malaysia.

"Semua pihak seharusnya memaklumi bahawa kes berkaitan penggunaan kalimah Allah yang bermula pada tahun 2009 yang lalu masih belum selesai dan masih dalam peringkat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Oleh yang demikian membicarakan isu berkaitan sama ada penganut Kristian Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan kalimah 'Allah' dalam bible Bahasa Melayu dilihat seolah-olah mendahului mahkamah sendiri dan bersifat 'subjudis'", katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia bertanggungjawab memberi sepenuh kebebasan kepada mahkamah untuk membuat penghakimannya dan Jakim berpegang kepada semangat patuh kepada undang-undang sedia ada iaitu biarlah mahkamah membuat keputusan yang benar-benar adil dan mengambil kira keharmonian semua kaum dan agama di negara ini.

Katanya, tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan pendapat sendiri dan mendahului mahkamah dan mengkucar-kacirkan keharmonian antara kaum dan agama demi meraih keuntungan politik sempit amat dikesali.

Justeru, JAKIM menggesa semua pihak supaya kembali menghayati semangat kedaulatan undang-undang yang dilaung-laungkan selama ini untuk memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara dan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Semua pihak harus menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang bermatlamat untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama," katanya.

Malam Cinta Rasul 2.0


"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang).”  (Surah al-Ahzab: Ayat 21)

Sunday 30 December 2012

Kalimah ALLAH: Guan Eng Sengaja Timbulkan Sentimen Perkauman



Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid mahu semua pihak terutamanya orang bukan Islam berhenti membuat sebarang kenyataan atau desakan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Beliau berkata, pengunaan kalimah Allah telah difatwakan haram serta dilarang digunakan oleh bukan Islam seperti yang termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

Malah katanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Ketua Agama Islam Negeri sebelum ini turut menitahkan pengunaan kalimah Allah oleh mana-mana agama selain Islam adalah haram.

Polemik mengenai kalimah Allah perlu dihentikan kerana Sultan Selangor telah menitahkan isu tersebut tidak lagi perlu dibangkitkan, jadi mengapa masih lagi dijadikan bahan perbincangan sehingga kini.

Dalam Bible terdapat konsep tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus. Dilihat daripada konsep itu, ia adalah jauh berbeza serta bercanggah dalam Islam yang mana Allah itu adalah Yang Maha Esa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas baru-baru ini, yang mendesak kerajaan Pusat membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam Bible versi bahasa Melayu seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Tamyes berkata, umat Islam perlu menghayati surah al-Ikhlas yang menerangkan keesaan Allah dalam membuat pertimbangan berhubung isu tersebut.

Katanya, surah itu menyatakan tuhan ialah Allah Yang Maha Esa yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Tambah beliau, surah itu turut menyatakan Allah tiada beranak, tidak pula diberanakkan dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya.

Sehubungan itu, jika nama Allah dibenarkan dalam Bible versi bahasa Melayu, akan menimbulkan kekeliruan sama ada kalimah Allah tersebut merujuk Tuhan Yang Maha Esa atau tuhan yang mempunyai anak.

Kewujudan salah interpretasi terhadap kalimah Allah perlu dielakkan umat Islam, sebaik-baiknya isu kalimah Allah tidak ditimbulkan lagi mana-mana pihak demi memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat termasuklah di Selangor," katanya.

Beliau menambah, larangan penggunaan kalimah Allah telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 diikuti Jawatankuasa Fatwa negeri Selangor pada 10 Jun tahun sama.

Katanya, larangan itu memutuskan lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama selain Islam.


Abu Ubaidi kata: Nak pakai kalimah Allah, peluk agama Islam..

Saturday 29 December 2012

RRU13: BN ada kelebihan untuk kekal kuasa - TPM


KENINGAU - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengariskan beberapa faktor dan kelebihan yang menunjukkan Barisan Nasional (BN) kini berada dalam kedudukan yang memihak parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangka amat mencabar.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, kelebihan yang dilihat menyebelahi BN, berbanding 2008 itu, adalah apabila rakyat terus menerus memberi sokongan kepada BN selepas kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi menyeluruh yang memberi faedah kepada seluruh lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata, inisiatif dan pendekatan kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memfokuskan usaha membela nasib rakyat amat serasi diterima dan diterjemahkan dalam bentuk dasar-dasar baru dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), transformasi politik serta tranformasi luar bandar.

"...pelbagai bentuk program yang menjurus kepada masyarakat dengan 111 inisiatif dalam perbentangan Belanjawan 2013 yang menyenaraikan semua lapisan masyarakat mendapat semua faedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-15 di Dewan Masyarakat Keningau, di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha itu turut disokong menerusi soal perpaduan kaum yang menjadi teras pembangunan nasional negara yang sentiasa diperkukuhkan malahan tiada perpecahan berlaku walau pun terdapat usaha pihak tertentu merosakkan semangat perpaduan kaum.

Beliau berkata, situasi turut jelas positif di mana tiada masalah dalaman antara parti komponen BN yang tidak dapat diatasi dan diselesaikan secara baik.

Antara faktor selebihnya, Muhyiddin berkata pencapaian luar biasa kedudukan ekonomi negara yang berkembang sebanyak lima peratus menerusi program GTP dan peningkatan hasil pelaburan domestik dan antarabangsa.

Katanya, jumlah pelaburan dalam negara lebih besar dan kukuh berdasarkan perkembangan pelaburan domestik dan antarabangsa selain pendapatan perkapita negara meningkat kepada AS$9,700 berbanding AS$7,500 pada dua tahun lepas.

"Kalau kita senaraikan, inilah perkara asas yang menunjukkan parti kita bertambah kukuh dan penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri agak jelas dan mendapat respons positif. Bagi saya suasananya amat baik (berbanding 2008)," katanya.

Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata kedudukan BN yang kuat itu harus didorong oleh semangat yang kental bagi kesemua 13 parti komponen BN termasuk parti 'kerdil' seperti PBRS yang harus memainkan peranan besar seumpama parti besar lain.

"Kita harus bertekad BN tidak boleh boleh kalah, sebab itu kita harus bangun dari tidur selepas leka dengan kejayaan-kejayaan dan mungkin sebab kita kerajaan, kita tidak beri perhatian hal-hal rakyat, tetapi kini kita telah turun padang dan membantu masyarakat.

Tuhan beri kita isyarat dan kita sedar, isyaratnya kalau tidak berusaha, mungkin juga boleh kalah, jadi Umno bangkit dan semua komponen-komponen parti sedar, jumpa, berbincang soal perkukuh parti dan usaha kembalikan keyakinan rakyat," katanya sambil menambah kerajaan berada pada 'lokomatif' betul yang dipandu Najib ke arah mencapai negara maju menjelang 2020.

Muhyiddin turut mengingatkan anggota parti komponen BN agar jangan 'berperang' sesama sendiri, sebaliknya membantu menjaga hati pengundi, tidak melakukan sesuatu yang menyentuh kehendak mereka, sentiasa mendengar dan menyelesaikan setiap permasalahan pengundi kawasan mereka.

Sambil mengakui beliau di samping Najib dan pemimpin negara lain yang mengamalkan sikap turun padang berjumpa rakyat atas faktor kepastian " kita kekal (sebagai kerajaan) adalah kerana rakyat jelata".

"...sebab itu apa saja kita dengar (peringkat akar umbi) kita beri perhatian. Najib sendiri selepas balik dari lawatan kerja ke negeri-negeri dari Johor mahupun Sabah atau Kedah, beliau akan membuat keputusan dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meluluskan pembinaan sekolah baru, Sekolah Menengah Dalit selain bersetuju membina sebuah gereja di daerah itu.

Beliau yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup turut menghadiri jamuan perayaan Krismas dan Tahun Baru di dewan itu.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi daerah ini. - Bernama

Wednesday 26 December 2012

Kalimah Allah: Najib jawab gesaan Guen Eng



PETALING JAYA, 26 Dis- Pemimpin Kristian diseru terus melibatkan diri dalam dialog konstruktif bagi mempertingkat hubungan antara agama di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada siapa harus takut dengan dialog konstruktif kerana rakyat Malaysia hanya boleh lebih menghormati dan menghargai satu sama lain jika setiap penganutnya saling lebih mengenali.

"Walaupun saya menerima hakikat bahawa memupuk dan menjalin hubungan mengambil masa, namun kita mesti terus berbuat demikian demi kepentingan Malaysia yang sentiasa menjadi objektif utama semua komuniti di negara ini," katanya pada majlis minum petang sempena sambutan Hari Krismas anjuran pihak pengurusan Gereja Luther di sini Selasa.

Najib berkata pemimpin Kristian merupakan peserta aktif sejak tiga tahun lepas dalam mekanisme dialog dikenali sebagai Jawatankuasa bagi Memupuk Harmoni dan Persefahaman di Kalangan Penganut Agama, yang diketuai Datuk Azman Amin Hassan, yang juga Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi.

Najib berkata untuk berjaya dalam usaha ini, kerajaan memerlukan perasaan muhibbah dan persefahaman yang tidak terhingga.
"Kita hanya boleh merealisasikan aspirasi ini dengan menyemai serta memupuk persefahaman dan rasa hormat bersama. Sehubungan itu, kita menggalakkan dialog dan wacana namun kita amat berhati-hati untuk berbuat demikian dalam konteks kepelbagaian kita serta cabarannya," katanya.

Najib berkata Malaysia, menerusi hubungan rapat serta sejarahnya dengan negara Islam, China dan India, ditambah pula dengan penduduk berbilang etnik, perlu memanfaatkan kelebihan strategik dialog konstruktif ketika negara menangani cabaran globalisasi dan perubahan ekonomi.

Tambahan pula, beliau berkata kerajaan telah menggubal polisi bagi mencerminkan kelebihan ini dan akan terus berbuat demikian dalam semangat 'Malaysia Truly Asia'.

Beliau berkata pentadbirannya sudah merumuskan konsep '1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan visi bagi melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

Najib menyifatkan Malaysia sebagai bernasib baik dapat menikmati pertumbuhan ekonomi stabil yang berjaya mengeluarkan berjuta penduduk daripada cengkaman kemiskinan dan berkata peluang untuk berjaya boleh digapai setiap rakyat yang berusaha bersungguh-sungguh.

Beliau turut menyentuh keperluan untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik dan berkata satu daripada teras utama konsep 1Malaysia ialah keadilan sosial yang disifatkannya sebagai komponen penting dalam memastikan setiap orang diberi peluang dan bantuan untuk berjaya.

Sehubungan itu, Najib menggesa komuniti Kristian di negara ini agar menyertai perjalanan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan ke arah Malaysia yang lebih baik.

Perdana Menteri berkata beliau faham jika komuniti itu merasakan bahawa kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk melibatkan mereka.

"Bagaimanapun, saya perlu menyatakan, secara ikhlas, bahawa kita sebenarnya berjaya mencapai banyak perkara bersama tanpa diketahui umum," katanya sambil menambah antaranya, menghapuskan sekatan terhadap penganut Kristian yang ingin ke Baitul Maqdis bagi upacara keagamaan.

"Ini adalah keterangkuman yang saya cari kerana saya percaya ada tempat untuk kita semua di bumi Malaysia.

"Di sini, saya sekali lagi ingin menghulurkan salam persahabatan kerajaan, mendakap komuniti Kristian dan berkongsi perasaan muhibbah dengan anda. Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri untuk satu seksyen masyarakat sahaja tetapi untuk semua rakyat Malaysia," katanya disambut dengan tepukan hadirin.

Menegaskan komitmen beliau kepada masyarakat Kristian, Najib berkata mereka tidak perlu berasa yang mereka sudah dilupakan.

"Dengan begitu banyak interaksi peribadi bersama pemimpin gereja menunjukkan bahawa saya tidak pernah melupakan komuniti Kristian seperti yang didakwa sesetengah pihak. Malah, setiap komuniti sama ada etnik atau agama, adalah penting kepada saya dan kerajaan saya kerana kami tidak boleh meminggirkan sesiapa," katanya

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim serta isteri Datin Seri Masnah Rais, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Ha.

Hadir sama Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Biskop Datuk Ng Moon Hing, Biskop Philip Lok dari Gereja Lutheran Malaysia dan Ketua Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam yang mewakili biskop Katolik.

Sunday 16 December 2012

Bapa & Anak Kuasai Pemilihan DAP

Pasukan bapa dan anak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mendahului Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat (CEC) di Kongres DAP ke 16 yang diadakan di Pulau Pinang.

Walaupun sebelum ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh cuba dijatuhkan dalam kepimpinan DAP pusat, namun keputusan pemilihan menyangkal dakwaan itu apabila beliau mendapat undi ketiga terbanyak, di samping anak sulungnya, Gobind Singh turut dilantik semula.

Penasihat DAP Lim Kit Siang mengutip undi paling banyak iaitu 1,607, diikuti oleh Guan Eng (1,576) manakala Pengerusi DAP Karpal Singh meraih 1,411.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy, Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham, Exco Kerajaan Selangor, Ronie Liu, Adun Kota Raja, M.Manoharan dan Jeff Ooi (Ahli Parlimen Jelutong) tewas dalam pemilihan DAP hari ini.

Berikut adalah senarai 20 pemimpin yang dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti bagi sesi 2012-2015 pada Kongres DAP Kebangsaan ke-16.

1. Lim Kit Siang
2. Lim Guan Eng
3. Karpal Singh
4. Chong Chieng Jen
5. Anthony Loke Siew Fook
6. Vincent Wu Him Ven
7. Tan Kok Wai
8. Gobind Singh Deo
9. Tony Pua Kiam Wee
10. Datuk Teng Chang Kim
11. Fong Kui Lun
12. Nga Kor Ming
13. Chong Eng
14. Chow Kon Yeow
15. Liew Chin Tong
16. M. Kula
17. Boo Cheng Hau
18. Teresa Kok Suh Sim
19. Teo Nie Ching
20. Ngeh Koo Ham

Menurut laporan Antarapos, semua calon Melayu tewas dalam pemilihan DAP. Mereka adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari yang hanya memperolehi 305 undi.

Turut kalah adalah Senator Ariffin S.M. Omar yang mendapat 348 undi. Begitu juga dengan satu-satunya ahli dalam (CEC), Ahmad Ton juga turut tewas kali ini apabila hanya mampu meraih 347 undi.

Calon lain yang tewas ialah Harun Ahmad (28 undi), Solaiman Op Syed Ibrahim (98 undi) Tengku 
Zulpuri Shah (121 undi) Zulkifli Mohd Nor (215 undi) dan Roseli Abdul Gani (39 undi).

Keputusan kali ini memberi impak kepada ura-ura DAP mahu melebarkan parti itu kepada orang Melayu.
Ketika merasmikan kongres DAP pagi tadi, Guan Eng melahirkan hasrat untuk membangunkan DAP sebagai pilihan orang Melayu yang menurut beliau semakin berminat menyertai parti itu.

Apa yang jelas ialah perwakilan DAP yang rata-rata kaum Cina menolak calon Melayu untuk menduduki jawatan-jawatan utama dalam parti itu.

Antarapos turut melaporkan Lim Kit Siang turut tekejut dengan keputusan perwakilan menolak semua calon Melayu pada pemilihan parti itu.

“Saya tidak gembira juga dengan keputusan tersebut dan sedikit kecewa sebab (selain) perwakilan Melayu yang tidak menang dan juga ada dari Sabah dan Sarawak yang tidak menang,” kata Kit Siang kepada pemberita.

“Saya rasa kita perlu belajar dan lihat semula keputusan tersebut dan cuba atasinya semula supaya DAP dapat melihat semula perwakilan yang dicalonkan,” katanya.

Kit siang menegaskan keputusan itu bukan bererti sifat perkauman menebal dalam DAP tetapi lebih kepada bilangan calon yang ramai bertanding.

“Ini bukan bermakna DAP anti-Melayu tetapi kerana hanya ada 20 tempat kerusi sahaja dan saya rasa ini adalah satu keputusan yang sakit yang dibuat oleh perwakilan hari ini,” katanya.

Selain kesemua calon Melayu tewas, 15 daripada 18 calon kaum India juga kalah, termasuk Timbalan Menteri Pulau Pinang P.Ramasamy.

Abu Ubaidi: inikah yang dipanggil Multi-Racial Party yang sering dihebohkan oleh pucuk pimpinan parti mereka.