Monday 3 October 2011

Bajet 2012: Harapan Rakyat

Jumaat ini Bajet 2012 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga merangkap sebagai Menteri Kewangan dan sudah tentu rakyat menaruh harapan yang besar agar Bajet 2012 akan membantu mereka dalam menghadapi keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Umum sudah mengetahui, Bajet 2012 akan meliputi tiga perkara penting iaitu bekalan makanan, perumahan dan pegangkutan awam. Rakyat terbeban dengan kos makanan semakin tinggi disebabkan harga makanan meningkat di peringkat global dan sikap tamak segelintir peniaga yang menguasai pasaran makanan. Antara strategi terbaik kerajaan menangani isu ini ialah menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia. Hasrat rakyat agar kerajaan memperbanyakan lagi kedai ini keseluruh pelusok negara.

Dari segi perumahan, rakyat mengharapkan kerajaan mengumumkan mekanisme untuk mengawal harga bahan binaan dan spekulasi harga hartanah, di samping memperhebatkan projek perumahan kos rendah dan sederhana serta insentif potongan cukai perumahan untuk para pembeli. Dari segi pengangkutan awam, kerajaan bukan sahaja akan memberi tumpuan pengangkutan awam di bandar-bandar besar malah di luar bandar juga akan dipertingkatkan terutamanya di Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga perlu menimbangkan kos-kos lain berkaitan dengan pengangkutan seperti minyak dan tol. Di bandar-bandar besar seperti Selangor dan Kuala Lumpur terlalu banyak wang dibayar untuk tol. Tidak berbaloi membayar tol begitu banyak tetapi kesesakan tetap berlaku.

Selain ketiga-tiga faktor diatas, kerajaan juga  dijangkakan membuat penyelarasan gaji terhadap kakitangan sektor awam. Berapakah jumlahnya bergantung kepada kemampuan kerajaan. kita tidak mahu apa yang terjadi kepada Greece dan Eropah berjangkit kepada negara kita jika kerajaan terlalu bermurah hati meningkatkan gaji sektor awam di luar kemampuan kerajaan. Namun nasib kakitangan sektor swasta juga perlu dibela terutamanya dari segi penetapan gaji minimum, pelan persaraan yang lebih baik dan had umur persaraan ditingkatkan. Apa yang penting rakyat perlu bersama-sama kerajaan dalam mempertingkatkan produktiviti kerja bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kerana kejutan krisis ekonomi global boleh berlaku pada bila-bila masa.

Wallahualam..





No comments:

Post a Comment