Tuesday 13 May 2014

Mungkin 13 Mei 2014 Menyaksikan Sejarah Baharu Kerajaan Campuran BN & PAS


Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu,  Mohd Zubir Embong menafikan kenyataan yang disebarkan di laman sosial mengenai pembubaran DUN Terengganu.

Beliau ketika dihubungi berkata, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau kenyataan berhubung perkara itu.

Katanya, perkara itu tidak berlaku kerana mengikut prosedur, menteri besar perlu menghadap dan mendapatkan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, namun perkara itu tidak berlaku setakat ini.

Beliau turut tidak menolak kenyataan itu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeruhkan pergolakan yang berlaku di Terengganu ketika ini.

Sebenarnya di hadapan pemimpin politik PAS dan BN ada tiga pilihan yang boleh dilaksanakan;

Pertama, jika Ahmad Said dan Ghazali bersedia menjadi adun bebas yang menyokong BN, sudah tentu tiada sebarang pertukaran kerajaan. Tetapi jika Ahmad Said dan Ghazali menyokong Pas maka penubuhan kerajaan baru akan berlaku.

Kedua, boleh diusahakan kerajaan campuran BN dan PAS. Kalau 13 Mei 1969 menyaksikan kerjasama politik dua parti politik melayu Islam Umno dan PAS diusahakan sehinga akhirnya terbentuk BN, maka 13 mei 2014 boleh menyaksikan sejarah baharu kerajaan campuran dua parti tersebut di peringkat negeri.

Pilihan ketiga ialah pembubaran Dun Terengganu. Berikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan.

Pilihan raya peringkat negeri akan menjadi pungutan suara rakyat Terengganu terhadap pelbagai agenda perubahan yang sedang dilaksanakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah perubahan MB Terengganu adalah salah satu agenda perubahan yang dihasratkan oleh Najib selepas berjaya menukar Ketua Menteri Sarawak. Najib mengharapkan projek di Terengganu berjalan lancar untuk digerakkan pula selepas ini perubahan Menteri Besar Pahang sebagaimana khabar angin tersebar. Jadikan Pilihanraya Negeri sebagai kayu ukur penerimaan rakyat terhadap perubahan ini. 

Namun, kita perlu sedar untuk mengadakan Pilihanraya Negeri, jutaan wang terpaksa dibelanjakan sedangkan kita baru setahun melalui PRU13 yang lepas. 

Jadi kepada kepimpinan politik BN dan PAS, buatlah keputusan yang bijak demi RAKYAT TERENGGANU

No comments:

Post a Comment