Saturday 29 December 2012

RRU13: BN ada kelebihan untuk kekal kuasa - TPM


KENINGAU - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengariskan beberapa faktor dan kelebihan yang menunjukkan Barisan Nasional (BN) kini berada dalam kedudukan yang memihak parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangka amat mencabar.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, kelebihan yang dilihat menyebelahi BN, berbanding 2008 itu, adalah apabila rakyat terus menerus memberi sokongan kepada BN selepas kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi menyeluruh yang memberi faedah kepada seluruh lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata, inisiatif dan pendekatan kepimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memfokuskan usaha membela nasib rakyat amat serasi diterima dan diterjemahkan dalam bentuk dasar-dasar baru dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), transformasi politik serta tranformasi luar bandar.

"...pelbagai bentuk program yang menjurus kepada masyarakat dengan 111 inisiatif dalam perbentangan Belanjawan 2013 yang menyenaraikan semua lapisan masyarakat mendapat semua faedah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ke-15 di Dewan Masyarakat Keningau, di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha itu turut disokong menerusi soal perpaduan kaum yang menjadi teras pembangunan nasional negara yang sentiasa diperkukuhkan malahan tiada perpecahan berlaku walau pun terdapat usaha pihak tertentu merosakkan semangat perpaduan kaum.

Beliau berkata, situasi turut jelas positif di mana tiada masalah dalaman antara parti komponen BN yang tidak dapat diatasi dan diselesaikan secara baik.

Antara faktor selebihnya, Muhyiddin berkata pencapaian luar biasa kedudukan ekonomi negara yang berkembang sebanyak lima peratus menerusi program GTP dan peningkatan hasil pelaburan domestik dan antarabangsa.

Katanya, jumlah pelaburan dalam negara lebih besar dan kukuh berdasarkan perkembangan pelaburan domestik dan antarabangsa selain pendapatan perkapita negara meningkat kepada AS$9,700 berbanding AS$7,500 pada dua tahun lepas.

"Kalau kita senaraikan, inilah perkara asas yang menunjukkan parti kita bertambah kukuh dan penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri agak jelas dan mendapat respons positif. Bagi saya suasananya amat baik (berbanding 2008)," katanya.

Terdahulu, ketika berucap, beliau berkata kedudukan BN yang kuat itu harus didorong oleh semangat yang kental bagi kesemua 13 parti komponen BN termasuk parti 'kerdil' seperti PBRS yang harus memainkan peranan besar seumpama parti besar lain.

"Kita harus bertekad BN tidak boleh boleh kalah, sebab itu kita harus bangun dari tidur selepas leka dengan kejayaan-kejayaan dan mungkin sebab kita kerajaan, kita tidak beri perhatian hal-hal rakyat, tetapi kini kita telah turun padang dan membantu masyarakat.

Tuhan beri kita isyarat dan kita sedar, isyaratnya kalau tidak berusaha, mungkin juga boleh kalah, jadi Umno bangkit dan semua komponen-komponen parti sedar, jumpa, berbincang soal perkukuh parti dan usaha kembalikan keyakinan rakyat," katanya sambil menambah kerajaan berada pada 'lokomatif' betul yang dipandu Najib ke arah mencapai negara maju menjelang 2020.

Muhyiddin turut mengingatkan anggota parti komponen BN agar jangan 'berperang' sesama sendiri, sebaliknya membantu menjaga hati pengundi, tidak melakukan sesuatu yang menyentuh kehendak mereka, sentiasa mendengar dan menyelesaikan setiap permasalahan pengundi kawasan mereka.

Sambil mengakui beliau di samping Najib dan pemimpin negara lain yang mengamalkan sikap turun padang berjumpa rakyat atas faktor kepastian " kita kekal (sebagai kerajaan) adalah kerana rakyat jelata".

"...sebab itu apa saja kita dengar (peringkat akar umbi) kita beri perhatian. Najib sendiri selepas balik dari lawatan kerja ke negeri-negeri dari Johor mahupun Sabah atau Kedah, beliau akan membuat keputusan dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meluluskan pembinaan sekolah baru, Sekolah Menengah Dalit selain bersetuju membina sebuah gereja di daerah itu.

Beliau yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup turut menghadiri jamuan perayaan Krismas dan Tahun Baru di dewan itu.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi daerah ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment