Sunday 30 December 2012

Kalimah ALLAH: Guan Eng Sengaja Timbulkan Sentimen Perkauman



Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid mahu semua pihak terutamanya orang bukan Islam berhenti membuat sebarang kenyataan atau desakan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Beliau berkata, pengunaan kalimah Allah telah difatwakan haram serta dilarang digunakan oleh bukan Islam seperti yang termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

Malah katanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Ketua Agama Islam Negeri sebelum ini turut menitahkan pengunaan kalimah Allah oleh mana-mana agama selain Islam adalah haram.

Polemik mengenai kalimah Allah perlu dihentikan kerana Sultan Selangor telah menitahkan isu tersebut tidak lagi perlu dibangkitkan, jadi mengapa masih lagi dijadikan bahan perbincangan sehingga kini.

Dalam Bible terdapat konsep tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus. Dilihat daripada konsep itu, ia adalah jauh berbeza serta bercanggah dalam Islam yang mana Allah itu adalah Yang Maha Esa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas baru-baru ini, yang mendesak kerajaan Pusat membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam Bible versi bahasa Melayu seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Tamyes berkata, umat Islam perlu menghayati surah al-Ikhlas yang menerangkan keesaan Allah dalam membuat pertimbangan berhubung isu tersebut.

Katanya, surah itu menyatakan tuhan ialah Allah Yang Maha Esa yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Tambah beliau, surah itu turut menyatakan Allah tiada beranak, tidak pula diberanakkan dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya.

Sehubungan itu, jika nama Allah dibenarkan dalam Bible versi bahasa Melayu, akan menimbulkan kekeliruan sama ada kalimah Allah tersebut merujuk Tuhan Yang Maha Esa atau tuhan yang mempunyai anak.

Kewujudan salah interpretasi terhadap kalimah Allah perlu dielakkan umat Islam, sebaik-baiknya isu kalimah Allah tidak ditimbulkan lagi mana-mana pihak demi memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat termasuklah di Selangor," katanya.

Beliau menambah, larangan penggunaan kalimah Allah telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 diikuti Jawatankuasa Fatwa negeri Selangor pada 10 Jun tahun sama.

Katanya, larangan itu memutuskan lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama selain Islam.


Abu Ubaidi kata: Nak pakai kalimah Allah, peluk agama Islam..

No comments:

Post a Comment