Wednesday 21 September 2011

Somalia: Peringatan Buat Umat Islam

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat 49:10 yang bermaksud "Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat". Sepotong hadis sahih yang wajar menjadi peringatan kepada umat Islam iaitu bermaksud "Pada suatu hari Rasulullah datang dari daerah berbukit. Ketika sampai di Masjid Bani Muawiyah baginda solat dua rakaat. Kami solat bersama baginda. Baginda kemudian berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Selepas berdoa, baginda berpaling kepada kami dan bersabda "Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. "Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku musim susah yang panjang, maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan tenggelam (seperti umat Nabi Nuh) permohonan itu diperkenankan juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan itu tidak diperkenankan." (Sahih Muslim) 

Kita lebih mengenal Somalia sebagai sebuah negara Islam miskin yang mengalami musim kemarau yang panjang sehingga seramai 300,000 ribu orang terkorban akibat kebuluran. Terbaru seorang wartawan kita ditembak mati ketika bersama misi kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa-mangsa kemarau panjang di sana. Beberapa abad yang lalu Somalia merupakan sebuah negara yang makmur dan pernah menjalinkan perdagangan dengan Kerajaan Melaka pada abad ke 15. Malah Somalia juga merupakan antara negara yang terawal menerima kedatangan Islam iaitu berlaku di zaman Rasulullah lagi apabila sebahagian sahabatnya berhijrah ke bumi tersebut yang pada ketika itu sebahagian dari wilayah Habsyah. Persoalanya, apa sebab musababnya Somalia kini direndung malang yang berpanjang???

Keruntuhan Somalia bermula pada zaman penjajahan kuasa Eropah pada awal abad ke 19. Sebahagian wilayahnya dijajah oleh Britain dan sebahagian lagi di bawah Itali. Selepas era penjajahan tamat, bermulalah era ketidakstabilan kerana perebutan kuasa di antara puak-puak bersenjata yang bermusuhan hingga sekarang. Tidak ada puak yang benar-benar berkuasa dalam pemerintahan kerana setiap puak mempunyai pengaruhnya di Mogadishu. Masalah lanun di perairannya menambahkan lagi ketegangan di wilayah tersebut. Mereka ini asalnya nelayan-nelayan pantai yang hilang mata pencarian akibat persaingan dengan nelayan-nelayan laut dalam asing. Pencemaran laut akibat pembuangan sisa-sisa toksik oleh kapal-kapal dari Eropah juga menjadi punca kehilangan mata pencarian nelayan-nelayan Somalia yang akhirnya mendorong mereka menjadi lanun. Kini mereka berhadapan pula dengan kemarau panjang yang diramalkan boleh mencatatkan angka kematian lebih buruk daripada kemarau pada tahun 1992 yang mengorbankan kira-kira 300,000 orang.

Inilah sebenarnya punca krisis yang melanda bukan saja Somalia malah dikebanyakan negara Islam seperti Afghanistan, Iraq, Palestin dan kini sedang merebak ke beberapa negara lagi termasuk Libya dan Syiria. Allah SWT tidak akan memberi pertolongan kepada umat Islam jika mereka bermusuh dan berbunuhan antara satu sama lain. Peristiwa tsunami yang  berlaku di Acheh sehingga mengorbankan ratusan ribu manusia adalah berpunca pembunuhan sesama Islam akibat tuntutan pemisah GAM daripada pemerintah Jakarta. Kita umat Islam di Malaysia perlu berwaspada dengan masalah permusuhan politik sesama kita kerana musibahnya bukan sahaja berlaku kepada kita malah kepada generasi yang akan datang. Hargailah nikmat keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini dan bertekadlah keamanan dan kemakmuran yang kita miliki hari ini dapat dinikmati juga oleh anak cucu dan cicit kita kelak. Jangan sampai kita kehilangan taraf masyarakat beriman yang akan menerima kemurkaan Allah dan tidak lagi mendapat rahmat-Nya.

Wallahualam...



No comments:

Post a Comment