Wednesday 10 August 2011

1Malaysia : Persepsi Orang Muda


Gagasan "1Malaysia" bukan hanya satu slogan politik yang kosong tetapi ia satu perjuangan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang maju, dinamik dan bergerak ke arah satu pencapaian nilai ketamadunan yang tinggi. Ketamadunan yang hebat di dunia pasti akan runtuh sekiranya bangsanya berpecah-pecah dan tidak ampuh. Ini adalah fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan. Seperkara yang perlu ditonjolkan dalam mencapai cita-cita murni ialah memperkasakan tentang nilai-nilai sejarah bangsa. Golongan muda khususnya perlu didedahkan dengan aspresiasi gagasan 1Malaysia ini melalui sejarah kepelbagaian kaum dan kepelbagaian ini disatukan menjadi identiti Bangsa Malaysia.

Keadilan sejagat juga merupakan satu pendekatan yang sering dimainkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang kononya atas nama demokrasi total. Mereka sanggup meruntuhkan asas binaan sosial semata-mata atas nama politik baru yang lebih adil dan saksama. Justeru itu, gagasan 1Malaysia ini harus diterjemahkan sebagai satu langkah membina kesaksamaan mengikut wajah dan acuan kita sendiri. Ramai beranggapan gagasan ini tidak jauh bezanya dengan "Malaysian Malaysia" seperti yang diperkenalkan oleh parti DAP. Hakikatnya adalah berbeza, konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menanggalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi Gagasan 1Malaysia ini lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza.

Merealisasikan gagasan 1Malaysia ini, perlu menanggalkan perasaan syak wasangka antara satu sama lain. Sifat prejudis perlu dihapuskan dan digantikan dengan sifat sangkaan baik antara satu sama lain. Kejujuran dan keikhlasan juga perlu dipupuk, bukan sahaja kepada para pemimpin tetapi kepada semua lapisan masyarakat di negara ini. Adalah mustahil gagasan ini tercapai sekiranya sikap prejudis antara kaum ini tidak dikikis malah ia boleh menjadi barah yang merosakan kemakmuran yang dimiliki sekarang.

Gagasan 1Malaysia juga perlu diterapkan hingga ke akar umbi. Ini bermaksud setiap lapisan masyarakat perlu disedarkan tentang keperluan dan kepentingan gagasan ini direalisasikan. Golongan muda khususnya perlu menjadi kelompok sasaran di setiap aktiviti yang dijalankan serta diberi penghayatan tentang unsur-unsur yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia. Namun demikian, rakyat seharusnya bersikap adil dalam menilai dan mentafsir gagasan ini. Adalah tidak wajar pihak-pihak tertentu menghukum gagasan ini atas faktor politik yang bersandarkan dendam kesumat.

1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan; merupakan satu tranformasi yang melihat kepada setiap amalan dan tindakan kita bersandarkan kepada kesepaduan kaum. Proses ini sudah tentu mengambil masa panjang tetapi hasilnya kelak sudah tentu akan mewujudkan sebuah pencapaian bangsa yang maju dan disegani.


No comments:

Post a Comment