Friday 7 February 2014

#PRKKajang : Krisis PKNS alasan terbaik desak Khalid letak jawatan MB



Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan yang disandangnya dengan kadar segera setelah menimbulkan pelbagai masalah dan konflik berpanjangan di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pimpinan parti juga telah menetapkan untuk menggantikan jawatan Menteri Besar dengan pemimpin yang lebih berpotensi.

"Terpulang kepada pimpinan PKR pusat untuk melantik mana-mana pemimpin sebagai Menteri Besar baharu, yang penting tukar (Menteri Besar) sebab sudah banyak perkara-perkara yang mengarut (dalam pentadbiran negeri)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berhubung pemecatan 23 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn. Bhd. (PHSB) iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pejabat Perhubungan Perusahaan Selangor di sini baru-baru ini.

Abdullah Sani menegaskan, PKR akan tetap meneruskan desakan agar Khalid berundur walaupun mendapat bantahan dari PAS.

Mengambil contoh krisis melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), beliau berkata, ia terbukti menunjukkan kelemahan Khalid kepada pentadbiran di negeri ini.

"Beliau sepatutnya letak jawatan. Masalah yang berlaku di Selangor pada hari ini (termasuk isu pemberhentian kakitangan kontrak PKNS) adalah bukti bertapa janggal kepemimpinan beliau sebagai Menteri Besar.

"Beliau telah buat banyak kesilapan yang tidak sepatutnya. Saya setuju perlu ada pertukaran Menteri Besar dengan segera," katanya.

Status jawatan Menteri Besar Selangor mula diperkatakan susulan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan pada 23 Mac ini.

1 comment:

  1. Lakonan oleh semua untuk mengaburi mata rakyat tambah2 rakyat selangor yg taksub dengan pakatan.

    ReplyDelete