Saturday 3 May 2014

ADUN DAP Kritikal, Koma Di Hospital Akibat Tumor Otak



Isteri bekas Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kerana bersetuju membantu menanggung sebahagian kos perubatan suaminya di Singapura akibat barah otak sejak 12 Januari lalu.

Irene Chang berkata, beliau dan keluarganya menghargai amat bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata, suaminya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, telah pulang dari Singapura dan kini dimasukkan ke Pusat Pakar Perubatan Rajang di sini.

“Beliau masih tidak sedar tetapi agak responsif setiap kali saya bercakap dengannya. Kami yakin dengan pertolongan Tuhan dan tidak berputus asa," katanya sambil menambah bahawa Ho Leng, 54, memerlukan penjagaan paliatif.

Irene berkata, semasa di Singapura, bekas Ahli Palimen Sibu itu, hilang keupayaan bertutur.

Katanya, beliau memberi persetujuan kepada doktor di sana untuk melakukan trakeostomi bagi membolehkan suaminya bernafas dan mengeluarkan sebarang rembesan daripada saluran udaranya.

Trakeostomi merupakan pembedahan yang mana satu lubang dibuat pada trakea melalui leher untuk melegakan sekatan pernafasan.

Irene berkata, pada kira-kira 7 pagi, 16 April lepas, denyutan jantung suaminya telah berhenti selama 20 minit tetapi doktor berjaya memulihkannya.

“Oleh kerana keadaannya, beliau tidak lagi mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di Bukit Assek. Saya harap penyokongnya dan masyarakat di kawasan itu dapat memahami keadaan," katanya.

Selain itu, katanya, suaminya akan memohon cuti daripada menghadiri mesyuarat persidangan DUN minggu depan.

Irene berkata, beliau terpaksa mengadakan sidang media itu kerana banyak pertanyaan mengenai keadaan suaminya serta menghentikan sebarang spekulasi. - BERNAMA



No comments:

Post a Comment