Friday 25 April 2014

Universiti Antarabangsa Albukhary Tak Jadi Tutup


Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) di Alor Setar, Kedah menarik balik keputusan untuk menutup operasinya, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pihak pengurusan institusi pengajian tinggi swasta itu kepada kementerian melalui sepucuk surat semalam.

"Universiti tersebut menghantar surat kepada Kementerian Pendidikan untuk menarik balik keputusan penutupan operasi mereka semalam dan ia akan terus beroperasi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana pada program Wacana Intelekual 2014 'Renaisans Melayu' di Auditorium RTM di sini Khamis.

Oleh yang demikian, perkara itu kini tidak lagi menjadi satu isu, katanya.

Mengenai faktor yang membawa keputusan penutupan AiU di peringkat awal pula, beliau berkata kementerian sentiasa memantau dan memastikan tidak ada perkara yang terkeluar daripada akta-akta tertentu bagi universiti swasta.

Ketika ditanya berhubung prestasi AiU, Idris berkata ia adalah isu yang berlainan namun kementerian sentiasa memantau supaya ia memenuhi kehendak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Mengulas berhubung pelajar AiU yang menyaman institusi itu, beliau berkata ia adalah isu dan masalah yang dihadapi antara kedua-dua pihak.

Pada 15 April lepas, enam pelajar AiU memfailkan saman terhadap universiti itu atas dakwaan gagal memberi notis penutupan AiU dalam tempoh yang ditetapkan oleh Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang memperuntukkan AiU perlu mengeluarkan notis penutupan dalam tempoh setahun.

Operasi universiti yang ditubuhkan oleh Yayasan Albukhary itu dilaporkan akan ditutup Jun ini.

AiU dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana beroperasi secara wakaf iaitu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penuntut yang rata-rata daripada golongan miskin dari seluruh dunia. - Bernama.

No comments:

Post a Comment