Saturday, 26 April 2014

Pemimpin PKR Selangor 'Dayus'’ Tidak Pertahan MB


Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor disifatkan seolah-olah bersikap ‘dayus’ kerana bersikap berdiam diri apabila seorang pemimpin kanan DAP, Jeff Ooi secara terbuka mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Wan Indra Putra Ahmad berkata, tindakan pemimpin kanan DAP terbabit, Jeff Ooi mengkritik pentadbiran Abdul Khalid itu sepatutnya dipandang serius kerana bukan sahaja menjurus kepada Menteri Besar Selangor itu tetapi melibatkan PKR di Selangor secara keseluruhannya.

"Bagaimana pemimpin PKR Selangor sanggup berdiam diri apabila Menteri Besar mereka dikritik seorang pemimpin yang bukan mewakili rakyat di Selangor tetapi di Pulau Pinang. Saya difahamkan Jeff Ooi turut mengkritik kerajaan ne­geri yang gagal menguruskan isu catuan bekalan air di Selangor.

"Apakah pemimpin PKR di Selangor tidak berani untuk mempertahankan seorang Menteri Besar dalam kalangan mereka sendiri. Ini yang perlu dijelaskan oleh para pemimpin PKR di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jeff Ooi yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong menerusi laman Facebooknya dilaporkan secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid dan menggesa beliau dipecat sebagai Menteri Besar Selangor kerana didakwa gagal menangani isu air di negeri ini.

Wan Indra tidak menolak kemungkinan tindakan Jeff Ooi seolah-olah mempunyai kaitan dengan politik khususnya melibatkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan populariti Abdul Khalid dalam PKR.

Ini kerana berdasarkan pemerhatian beliau, Abdul Khalid dilihat berada dalam kedudukan selesa lebih-lebih lagi pada pemilihan parti itu pada Mei ini berbanding pencabar­nya yang turut bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

"Justeru Jeff Ooi mungkin berperanan sebagai ‘kaki pukul’ oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Abdul Khalid. Dari segi logiknya, wajarkah seorang ahli Parlimen dari Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mencampuri urusan pentadbiran di Selangor.

"Mungkin juga kerana Abdul Khalid sebelum ini bertindak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan Kerajaan Pusat sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak senang pemimpin dalam pakatan pembangkang. Mereka mungkin menganggap Abdul Khalid seorang Menteri Besar yang mesra dengan Kerajaan Pusat," katanya.


No comments:

Post a comment