Monday, 22 October 2012

Al-Qaradawi Puji Komitmen Malaysia, Najib


KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Peranan Malaysia memperjuangkan keamanan, keadilan dan kemanusiaan di dunia Islam mendapat pujian banyak pihak termasuk Pengerusi Al-Quds International Institution (QII), Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Dalam surat beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, al-Qaradawi melahirkan penghargaan dan terima kasih terhadap dedikasi dan komitmen Malaysia yang menyokong perjuangan di Baitulmaqdis.

“Tidak memeranjatkan, kami sentiasa mendapati anda antara yang pertama dan terawal menyokong perjuangan adil dan kemanusiaan, isu Palestin dan Baitulmaqdis adalah antaranya,” katanya dalam surat kepada Najib.

Pencapaian terbaru hasil usaha tanpa mengenal jemu Malaysia ialah perjanjian damai dimeterai Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi pewujudan wilayah autonomi Bangsamoro di Selatan Filipina.

Al-Qaradawi berkata: “Lebih penting, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara negara Islam yang mempunyai strategi pembangunan mengagumkan dan terbuka, kini menjadi pusat rujukan dan contoh bagi dunia Islam.

“Malah lebih membanggakan kami ialah pencapaian dan kejayaan mewujudkan cawangan QII di Malaysia, pencapaian yang mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan dan naungan anda”.

Beliau merujuk kepada pelancaran Al-Quds Foundation Malaysia, sebuah yayasan kebajikan untuk rakyat Palestin, yang antara lain mendidik masyarakat mengenai isu di negara berkonflik itu di samping membantu rakyat Palestin.

Abu Ubaidi: Umat Islam ibaratkan seperti anggota tubuh manusia, sakit salah satu anggota kesannya seluruh tubuh akan merasakan kesakitannya

No comments:

Post a comment