Monday, 5 December 2011

Perjuangan Islam atau Melayu


Abu Ubaidi pernah diajukan soalan, apakah kita perlu memperjuangkan Islam dahulu kemudian baru Melayu, atau memperjuangkan Melayu dahulu kemudian Islam? Pernah juga dalam satu diskusi seorang mahasiswa dari sebuah Pusat Pengajian Tinggi bertanya (dengan nada yang keras), apakah kita harus menjadi pejuang bangsa atau pejuang agama?

Persoalan begini sebenarnya menyumbang ke arah perpecahan bangsa Melayu Islam masa kini. Malah kerap dijadikan modal politik oleh parti-parti tertentu yang bersaing dalam pilihan raya. Tidak kurang pula ada kumpulan yang beranggapan bahawa perjuangan Melayu adalah perjuangan yang bersifat asabiyah. Tetapi sebenarnya mereka tidak memahami secara mendalam yang dimaksudkan dengan asabiyah.

Realitinya dalam konteks negara Malaysia, hubungan Islam dan Melayu sebenarnya sangat sinonim. Definisi Melayu sendiri menampilkan tiga ciri asas yakni, beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan istiadat budaya Melayu. Jadi ini dengan sendirinya meletakan Islam sebagai satu ciri dalam jati diri Melayu.

Dengan kata lain, jika seseorang membuang Islamnya maka secara automatik dikatakan hilang bukan sahaja nilai-nilai keislamanya tetapi juga sifat-sifat kemelayuannya. Oleh itu dalam konteks Malaysia khususnya, secara mudah kita boleh mengatakan yang Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Tetapi ungkapan ini tidak releven di peringkat antarabangsa kerana di dunia ini banyak bangsa dan agama tidak boleh disinonimkan.

Pesan Abu Ubaidi : Jangan jadikan isu ini sebagai alasan untuk berpecah belah, hargai warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita terdahulu...

No comments:

Post a comment