Saturday 19 April 2014

Kerana Karpal Singh, Kerja Tuhan Pun Nak Ambik Alih..

Kematian Karpal Singh benar-benar telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Beliau disahkan meninggal dunia akibat daripada kemalangan yang berlaku pada Khamis 17 April sekitar jam 1 pagi di Lebuhraya Utara Selatan dekat Gua Tempurung baru-baru ini. Kemalangan maut itu melibatkan van Toyota Alphard milik beliau bernombor KS 9898 melanggar belakang sebuah lori di KM301.6 arah Utara di situ.

Selain Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut terbunuh ialah pembantu beliau Michael Cornelius. Pemergian mendiang Karpal Singh ini amat dirasai oleh para penyokongnya. Sejak dari hari kematian beliau, para penyokongnya yang terdiri dari berbilang agama tidak putus mengucapkan takziah serta kata-kata semangat kepada ahli keluarga mendiang melalui laman-laman sosial di internet ini.

Namun begitu, terdapat sebilangan penyokong beliau yang beragama Islam yang terlampau taksub dengan mendiang sehinggakan sanggup melakukan perkara yang melampaui batasan agama dengan mengeluarkan kenyataan yang sama sekali boleh memesongkan akidah seseorang Islam itu.

Seperti apa yang berlaku di dalam laman sosial facebook hari ini, seorang penyokong mendiang yang beragama Islam sanggup mengeluarkan kenyataan yang terpesong dari ajaran agama Islam itu sendiri. Menurut akaun facebook "Benz Ali" hari ini, beliau sanggup menyamakan dirinya sendiri dengan Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta kerana terlalu sedih dengan kematian Karpal Singh itu.

"Rest in peace Karpal, Jika aku menjadi Tuhan, maka akan aku masukkan kau ke dalam syurga, dan rejam Zulkifli Nordin dalam neraka", itu lah ucapan yang dikeluarkan oleh penyokong tersebut tanpa menghiraukan agamanya sendiri.

Tidak menjadi kesalahan dalam Islam jika kita semua bersedih dengan kematian seseorang yang kita kenali walaupun si mati itu orang-orang kafir, tetapi janganlah terlampau taksub sehingga boleh menyebabkan seseorang itu terpesong dari agamanya sendiri. Kepada pelaku tersebut serta semua rakyat Islam khususnya, ingatlah bahawa sikap fanatik dan taksub adalah dilarang ALLAH SWT terhadap umat terdahulu seperti yang ditujukan khas kepada Ahli Kitab.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Katakanlah, “Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”. (Surah al-Ma’idah : 77)

No comments:

Post a Comment