Thursday 29 November 2012

SESAT JIKA KATA ORANG ISLAM BEBAS PILIH AGAMA: IMAM BESAR ISTIQLAL


JAKARTA, 28 Nov (Bernama) -- Orang Islam yang mengatakan bahawa orang Islam bebas memilih agama adalah sesat dan perlu bertaubat, kata Imam Besar Masjid Istiqlal Jakarta, Prof Dr Ali Mustafa Yaqub.

"Orang (Islam) yang mengucapkan ucapan ini, paling tidak kalau dia sudah mengakui kebenaran agama lain, dia paling tidak sudah sesat, songsang.

"Apalagi kalau dia (orang Islam) katakan semua agama sama, mahu masuk, keluar (agama) dipersilakan, boleh menjadi kafir," katanya ketika ditemui di sini.

Prof Dr Ali Mustafa, ulama masyhur Indonesia yang juga pakar hadis, adalah imam besar di masjid negara Indonesia - masjid terbesar di Asia Tenggara.

Beliau diminta memberi pandangan tentang polemik berhubung kenyataan kontroversi baru-baru ini tentang pengertian sepotong ayat al-Quran yang bermaksud "tiada paksaan dalam agama" serta kaitan dengan pandangan mengenai kebebasan beragama bagi orang Melayu di Malaysia.

Di Malaysia, orang Melayu adalah mereka yang beragama Islam.

Ayat "tiada paksaan dalam agama" itu kata Prof Dr Ali Mustafa hanya ditujukan kepada orang bukan Islam kerana mereka tidak dipaksa masuk Islam tetapi setelah mereka memilih masuk Islam, mereka wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Islam.

"Analoginya begini, ada orang mahu masuk rumah, mahu masuk dipersilakan, tak masukpun dipersilakan, saya tak memaksa anda untuk masuk ke dalam rumah saya, tetapi kalau anda masuk ke rumah saya, anda mesti mengikuti aturan-aturan di rumah saya, seperti itu," katanya.

Beliau berkata orang yang berfahaman liberal mungkin keberatan dengan perkara itu kerana ia seolah-olahnya tidak menjunjung kebebasan hak asasi.

"Jawapan kepada persoalan itu ialah Islam tak menyuruh kamu untuk masuk Islam. Kamu mahu pilih menjadi kafir dipersilakan, itukan hak asasi kamu, tapi kalau sudah masuk (Islam), ikutilah aturan-aturan Islam.

"Kalau dah masuk Islam tapi masih mengikuti aturan yang bukan Islam, itukan kacau semuanya nanti itu," katanya.

Prof Dr Ali Mustafa berkata meskipun umat Islam di Malaysia tidak banyak seperti di Indonesia yang pada masa ini merupakan masyarakat Islam terbesar di dunia, tetapi umat Islam di Malaysia tetap dengan keIslamannya terutama orang Melayu.

Kepada isu lain, Prof Dr Ali Mustafa berkata perbuatan mendoakan kehancuran saudara sesama Islam hukumnya haram.

Beliau berkata Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mendoakan yang buruk walaupun kepada orang bukan Islam, apa lagi kepada sesama Islam.

"Haram kalau kita mendoakan umat Islam untuk dilaknatkan begitu. Jangan mendoakan orang untuk diberikan laknat seperti itu, nanti salah-salah malah doa itu berbalik kepada diri kita," katanya.

Prof Dr Ali Mustafa diminta pandangan mengenai kontroversi yang timbul di Malaysia berhubung perbuatan mendoakan kehancuran Umno, yang dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai merugikan umat Islam sendiri terutamanya daripada segi imejnya kepada orang bukan Islam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment