Friday 13 January 2012

Jamil Khir : Berani Kerana Benar


Oleh Helme Hanafi (AgendaDaily)

KUALA LUMPUR : Raut wajah, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar atas) nampak tenang saja di ruang mesyuarat pejabatnya Tingkat 9 Bangunan JAKIM, Putrajaya pada Rabu.

Beliau ditemani Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha (gambar atas), Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, CEO Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr Muhammad Yamin Ismail bersama pegawai-pegawai lain, siap melayani kami – wartawan, blogger, facebooker dalam majlis pertemuan petang itu.

Ada banyak isu yang mahu dibualkan dengan bekas Mejar Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini, tetapi yang paling panas dan ramai hendak tahu adalah soal penggunaan wang zakat MAIWP membayar kos guaman satu perbicaraan membabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isu tersebut jika diteliti secara fakta, tidak besar mana, tetapi ia menjadi kontroversi sebab pembangkang, terutamanya PKR membangkitkannya secara konsisten dan berkala hingga membentuk persepsi seolah-olah Menteri Malaysia guna duit zakat bayar kos guaman.

Kisah sebenarnya mudah, Anwar saman kerajaan (menterinya Datuk Seri Jamil Khir), Pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua jabatan pendakwaan JAWI, Shamsuddin Hussain sebab tidak mahu dakwa pengadu kes liwat Mohd Saiful Azlan Bukhari dengan dakwaan qazaf (tuduh zina tanpa empat saksi).

Jadi sebagaimana biasanya, kerajaan dan agensi-agensinya perlu mempertahankan diri dan melantik peguam.

Ini bukan soal peribadi Anwar lawan Jamil Khir, tapi soal Anwar lawan Jabatan Agama yang kebetulan menteri yang dipertanggungjawabkan adalah Jamil Khir.

Dan Anwar kalah. Pusingan pertama.

Bila lantik peguam perlu kos, sudah sebab ini saman kerajaan, sudah tentu kerajaan yang bayar, bukan individu. Maka MAIWP sebagai agensi bertanggungjawab perlu bayar kos guaman sebanyak RM63,650.

Bukan untuk Jamil Khir seorang, tetapi juga untuk Datuk Che Mat Che Ali dan Shamsuddin Hussain yang disaman Anwar. RM63,650 kongsi tiga. Itu sahaja kisahnya.

Masalah timbul bila pembangkang bawa isu penggunaan wang zakat bayar kos guaman tersebut, dan pembangkang secara konsisten bawa isu tersebut sebab ianya berkaitan dengan Anwar.

Satu demi satu dirungkai, dokumen demi dokumen dipamerkan termasuklah baucer pembayaran (ada tanda-tanda pembabitan orang dalam).

Ketika berhadapan dengan 12 orang semalam, Jamil Khir sedia digrill, soalan terbuka untuk kami tanya, dia bersedia untuk tell the truth.

“Saya jika yang dihina itu diri saya, saya boleh maafkan, tapi yang dihina itu Islam, jabatan agama Islam, saya tidak boleh berdiam diri,” katanya memperjelaskan maksud pertemuan.

Menurut beliau, sebagai Pengerusi MAIWP, jawatan yang disandangkan bukan jawatan eksekutif.

“Urusan harian, soal pembayaran dan pentadbiran bukan saya kendalikan, tapi sebagai bos, saya kena bertanggungjawab, mereka serang saya tak mengapa, tapi mereka serang MAIWP, saya kena tampil jawab,” katanya lagi.

Menurut beliau, soal pembayaran kos guaman menggunakan duit zakat itu tidak timbul sebab beliau tahu wujud geran tahunan kerajaan kepada MAIWP setiap tahun bagi tujuan tersebut.

“Saya beranggapan begitu, walaupun baru-baru ini Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) dalam mesyuarat khas pada 3 September 2009 bagi membincangkan anggaran Belanjawan MAIWP 2010, telah meluluskan sebanyak RM205,000,00 untuk perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah,” kata beliau.

Jamil Khir membacakan satu kenyataan media oleh Mufti Wilayah kepada kami dan menerangkannya satu persatu.

Antara yang ditulis oleh Mufti Wilayah tersebut adalah JPHSWP menerima pakai pendapat ulama yang mentafsirkan asnaf fisabillah dengan tafsiran yang lebih luas dari perbelanjaan untuk perang jihad semata-mata. Antara mereka adalah Imam Fakhrul Razi dalam kitab tafsirnya dan Sheikh Rasyid Rida dalam tafsir Al-Manar.

Menurut Rahyid Rida, "pendapat yang benar mengenai maksud fisabillah di sini ialah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan,".

Sudahpun ada kenyataan Mufti tersebut, bagi Jamil Khir, beliau beranggapan bahawa duit yang digunakan untuk bayar kos guaman tersebut adalah dari geran kerajaan sebanyak RM700,000,00 setahun yang memang digunakan untuk kes-kes perundangan yang dihadapi oleh jabatan agama.

“Saya tetap kata yang duit peguam itu dari dana kerajaan, tapi Mufti sendiri kata, jika pakai duit zakat pun boleh berdasarkan mesyuarat tahun 2009, lulus sebanyak dua ratus ribu lebih untuk tujuan perundangan, saya terima kasihlah…” katanya tegas mempertahankan integritinya.

Untuk rekod Pengarah Jawi Datuk Che Mat yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam satu laporan Bernama pada Khamis berkata dana daripada kerajaan memang dimasukkan di dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat, cuma dimasukkan sementara tetapi akaun banknya adalah sama.

"Kalau kita nak ambil duit itu (dana kerajaan) bagi digunakan untuk pembayaran kos guaman pun boleh, tak ambil pun boleh dan jika nak ambil duit zakat pun tidak mengapa, asalkan untuk memartabat kredibiliti dan kehormatan MAIWP dalam menguruskan hal ehwal dan warga Islam di Wilayah Persekutuan," katanya.

Beliau berkata geran kerajaan sebanyak RM700,000 yang diterima MAIWP tahun lepas bagi tujuan pembayaran untuk kes tertentu seperti mempertahankan kredibiliti pengurusan hal ehwal undang-undang yang bersabit dengan MAIWP apabila majlis itu disaman dan sebagainya memang dimasukkan ke dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat dan pengeluaran untuk pembayaran kos guaman untuk situasi seperti didakwa adalah dibolehkan.

"Tetapi hari ini saya nak jelaskan kita bayar duit guaman itu guna dana kerajaan, kita tak ambil duit zakat walaupun kita boleh juga ambil duit zakat seperti yang dijelaskan Mufti Wilayah Persekutuan," kata Che Mat.

Sebagai bekas Mejar Jeneral dalam tentera, Jamil Khir sudah biasa dengan tekanan dan ujian, beliau nampak tegas dan bersemangat menerangkan letak duduk perkara tersebut.

Ada beberapa perkara yang off record kerana sebab-sebab tertentu.

“Ini semua sebab saya lawan dengan Anwar Ibrahim saja, dia saman saya dan dua yang lain dalam kes qazaf, bila bawa ke mahkamah, kami menang, dan dia merayu, rayuan dia akan dengar pada 30 Januari ini,” jelasnya.

Bagi yang biasa dengan gaya pembangkang mencipta isu salah satu caranya adalah dengan 'kompang' bagi kuat supaya persepsi terbentuk. Macam kes liwat Anwar di mahkamah baru-baru inilah, sebelum keputusan riuh kata konspirasi dan segala macam lagi. Lepas keputusan terus senyap sunyi.

Sebagai orang baru dalam politik, Jamil Khir yang dilantik sebagai Senator dan sekaligus Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik PM merombak Kabinet pada April 2009.

Orangnya mudah mesra dan rendah diri. Beliau disenangi banyak pihak dan barangkali menimbulkan cemburu kepada musuh-musuh politiknya (pembangkang). Kebetulan ada isu yang boleh ‘dilambung’ maka puak-puak ini berseronok jadikan satu tarikan untuk menjual ‘minyak angin’ mereka.

Sebelum ini Datuk Seri Jamil Khir diserang dalam soal rumah yang konon macam istana. Beliau ada terangkan juga dalam pertemuan lebih sejam tersebut. Ceritanya memang bersahaja habis.

No comments:

Post a Comment