Assalamu’alaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Saudara dan saudari sekalian,
1.
Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk bertemu bulan Rejab,
dengan harapan akan disusuli dengan Syaaban seterusnya menikmati kemuliaan
beribadah di bulan Ramadhan. Sesungguhnya, 27 Rejab secara tradisinya membawa
ingatan kita kepada satu peristiwa agung yang tiada taranya, iaitu Peristiwa
Israk dan Mikraj. Biarpun kisah ini berlaku melebihi 1400 tahun yang lalu,
tetapi kerelevanan dan kepentingannya adalah amat signifikan buat umat Islam.
2.
Sememangnya, ini adalah sesuai dengan apa yang terkandung dalam kitab suci
Al-Quran apabila Allah SWT memaktubkan peristiwa agung Israk melalui firman-Nya
dalam surah al-Israa^ ayat pertama yang bermaksud:-
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan
hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid
Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan
kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
3.
Sebaiknya, selain kita mengagumi peristiwa ini secara harfiah, adalah lebih
afdal kiranya kita menjadikannya pedoman bagi mendepani cabaran semasa umat
hari ini. Sebagaimana para nabi telah disatukan untuk berimamkan Rasulullah SAW
di Masjidil Aqsa, demikianlah kita perlu bersatu untuk mempertahan serta
menegakkan agama Islam.
4.
Kita juga mestilah mengiktibari peristiwa Israk dan Mikraj ini untuk
mengukuhkan akhlak kita sebagai seorang muslim yang unggul terutamanya melalui
solat dan ibadah-ibadah yang lain. Rasulullah SAW sentiasa menyeru kita agar
menjaga solat dan akhlak. Akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral oleh
segelintir umat Islam kini berpunca daripada solatnya yang tidak khusyuk
menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Justeru,
pelaksanaan solat yang khusyuk berupaya menjadi benteng untuk mengukuhkan
kekuatan akidah dan akhlak umat Islam bagi menghadapi segala serangan sosial
masa kini.
5.
Menyaksikan apa yang berlaku di luar negara, kita seharusnya bersyukur dengan
kestabilan sosial, politik dan ekonomi yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada
kita. Ini semua memerlukan dukungan dan peranan semua pihak. Syukur
Alhamdulillah, baru-baru ini kita telah dinobatkan sebagai negara paling
selamat di Asia Tenggara dalam Indeks Keamanan Global. Justeru, saya menyeru
segenap lapisan masyarakat agar menyokong usaha-usaha kerajaan dan mengambil
bahagian dalam membina persekitaran negara yang aman dan selamat.
6.
Sesungguhnya, institusi masjid yang menjadi teras di dalam peristiwa bersejarah
Israk dan Mikraj ini telah mengingatkan umat Islam dengan ikatan erat mereka
dengan Masjidil Aqsa dan Baitulmaqdis. Dunia menyaksikan, bagaimana Malaysia
terus istiqamah dengan pendirian kita menentang kezaliman dan keganasan rejim
zionis Israel di Palestin tanpa berdolak-dalik.
7.
Akhirul kalam, saya dan keluarga mengajak semua umat Islam di negara ini
bersama-sama mengiktibari Peristiwa Israk dan Mikraj ini. Semoga penghayatan
kita kepada peristiwa hebat ini menjadikan hari esok kita lebih baik daripada
hari ini. Insya-Allah.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh,
No comments:
Post a Comment