Tuesday, 22 April 2014

Catuan Air Diteruskan Berikutan Empangan Sungai Selangor Kritikal

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneruskan catuan air berikutan paras air di Empangan Sungai Selangor berada pada tahap kritikal dan bekalan air yang ada hanya mampu bertahan 29 hari lagi, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata sehingga 20 April, empangan itu mencatat paras air 89.29 juta meter padu atau 38.82 peratus berbanding 235.32 juta meter padu jika ia penuh.
Berikutan itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) pada masa ini sedang giat meneroka kolam-kolam bekas lombong terutama di kawasan lembangan Sungai Selangor bagi tujuan mengepam air mentah dari kolam takungan bekas lombong ke Sungai Selangor.
Dengan cara ini, pelepasan air dari empangan Sungai Selangor dapat dikurangkan dan air di empangan mampu bertahan lama.
LUAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada masa ini turut menjalankan aktiviti mengepam air sungai hasil hujan lebat di hilir untuk ditakungkan ke kolam-kolam sekitar Empangan Sungai Selangor untuk digunakan pada musim kering nanti.
Selain itu, kaedah pembenihan awan dikenali sebagai ‘royal rain making technology’ juga akan digunakan untuk mendapatkan hujan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di negeri ini.

Monday, 21 April 2014

Pemahaman apologetik – Benih pluralisme agama


Sejak kebelakangan ini, kita sering terbaca artikel atau status facebook tentang satu persoalan yang penting, bolehkah bukan Muslim selamat dari neraka? Jawapan “apologetik” yang disampaikan di artikel-artikel dan status facebook berkenaan telah mengelirukan ramai orang sama ada di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam. 
Mungkin ada teman-teman kita yang bukan Islam mula berbicara, “berdasarkan penerangan ustaz A ini, kita tidak perlu masuk Islam kerana belum sampai hujjah Allah ke atas kami. Mana contoh di kalangan orang Islam yang berakhlak mulia seperti rasul kamu? Tidak ada contoh negara Islam yang baik. Pemimpin-pemimpin Islam pula di kalangan orang Islam sendiri dikatakan pecah amanah dan tidak adil. Kalau ikut ustaz A dan ustaz B yang terkenal itu, Allah tidak akan mengazab kami kerana hujah belum memadai di Malaysia. Mungkin kami yang masuk syurga sekalipun kami bukan Islam sebab kami seorang yang baik dan jujur manakala pemimpin kamu akan ke neraka sebab mereka pecah amanah.”
“Malah, kamu tak layak panggil kami kafir kerana kami tidak menerima dan melihat ajaran Islam yang sebenar. Kafir ini satu penghinaan kepada kami.”
Memang berat andai kata persoalan tersebut dilontarkan kepada kita terutama orang awam.
Malah apabila kita fikirkan, apakah mesej sebenar para ilmuan Islam tersebut? Adakah mereka bermakna untuk mengatakan bahawa “wahai penganut agama lain, jangan risau. Tidak mengapa mati dalam agama kamu kerana Allah Maha Pengampun jika umat Islam tidak menyampaikan kepadamu Islam yang sebenar. Engkau tidak berdosa, umat Islam yang berdosa. Teruskan berada dalam agamamu.”
Saya yakin itu bukan niat mereka kerana sesiapa yang mempelajari tentang Islam akan mengenali bahawa sesungguhnya kita tidak mengenali dakwah sedemikian dari lipatan seerah Rasulullah saw mahupun perjalanan hidup para sahabat dan para tabiin sendiri. Sesungguhnya dakwah yang disampaikan ketika Rasulullah saw di Mekah adalah jelas dan terang tanpa ada kompromi sedikit pun terhadap keesaan Allah swt dan kebenaran ajaran Islam.
Erti seorang muslim
Kita harus bertanya semula apakah ertinya menerima Islam itu? Apakah ia bererti apabila seseorang yang mengucapkan ungkapan-ungkapan berbahasa Arab, walaupun tidak memahami makna yang terkandung dalam ucapan mereka, layak disebut seorang Muslim? 
Jawapannya tidak. Erti menerima Islam adalah bahawa seseorang wajib dengan penuh kesedaran dan kesengajaan menerima apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Muhammad saw dan bertindak sesuai dengan ajaran tersebut. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka ia adalah seorang Muslim dan barangsiapa yang tidak berbuat demikian, ia bukanlah seorang Muslim.
Perbezaan muslim dan kafir
Setiap Muslim percaya bahawa seorang Muslim lebih tinggi darjatnya daripada seorang kafir. Allah senang terhadap seorang Muslim dan benci kepada orang kafir. Seorang Muslim akan memperoleh keselamatan daripada Allah, sedangkan seorang kafir tidak. Seorang Muslim akan masuk ke syurga manakala seorang kafir akan masuk ke neraka. Inilah janji Allah.
Maka marilah kita fikirkan, mengapa ada perbezaan yang begitu besar antara seorang Muslim dan seorang kafir? Padahal seorang kafir adalah juga keturunan Adam. Mereka juga manusia. Mereka juga punya tangan, kaki, mata dan telinga. Mereka pun bernafas dengan udara yang sama, minum air yang sama dan hidup di bumi yang sama. Allah juga adalah Penciptanya juga. Maka, mengapakah darjatnya rendah dan darjat seorang muslim tinggi? Mengapa yang Islam semua nanti akan ke syurga dan yang menolak Islam ke neraka?
Perbezaan besar antara seorang Muslim dan seorang kafir bukan hanya kerana nama, bukan hanya kerana seorang dikhatan atau tidak, bukan kerana seorang makan khinzir atau tidak. Allah yang Maha Kuasa, tidak mungkin bertindak sedemikian kejam mendiskriminasikan antara makhluknya semata-mata kerana kerana perbezaan tersebut.
Jawapannya hanyalah satu, yakni kerana Islam dan kufr. Islam bererti kepatuhan kepada Allah sedangkan kufr bererti keengkaran kepada Allah. Orang Islam dan orang kafir kedua-duanya adalah manusia dan hamba Allah. Namun satu berkedudukan mulia kerana ia mengakui Allah itu Esa, mematuhi perintah-Nya dan takut akan hukuman apabila melanggar batasan-Nya. Manakala yang kafir terperosok dari kedudukan kemuliaan tersebut kerana ia mempersekutukan Allah dengan sesuatu dan tidak melaksanakan perintah-Nya. Itulah sebabnya Allah senang dengan orang Muslim dan benci kepada orang kafir.
Asas perbezaan – Pengetahuan dan perbuatan
Daripada huraian di atas jelaslah ada dua asas yang membezakan antara seorang Muslim dengan seorang kafir. Yang pertama adalah pengetahuan dan yang kedua perbuatan. 
Pengetahuan bererti bahawa seorang Muslim harus tahu dan mengiktiraf siapa Tuhannya, apa perintah-perintahNya, bagaimana cara-cara untuk menuruti kehendakNya, perbuatan-perbuatan mana yang disukaiNya dan mana yang tidak disukaiNya. Bila ia sudah tahu akan hal-hal tersebut, maka langkah yang kedua ialah bahawa ia harus menjadikan dirinya sebagai hamba dari Tuhannya, melaksanakan kehendak-Nya dan mengabaikan kemahuan-kemahuannya sendiri. 
Inilah pengetahuan dan perbuatan yang menjadikan seorang Muslim sebagai hamba Allah yang sejati, yang mendapat limpahan rahmatNya serta kedudukan yang luhur dan mulia. Islam tidak lain adalah penghambaan seseorang semata-mata kepada Allah. Ia sama-sekali tidak mengikuti kemahuannya sendiri atau rakan parti politik atau kemahuan nenek-moyang atau kemahuan keluarga dan kaumnya atau kemahuan sesiapapun yang lain selain kehendak Allah semata-mata.
Seseorang yang tidak ingin menjadi seorang Muslim, tidak dapat dipaksa untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kemahuannya, ia bebas memeluk agama apa pun yang disukainya dan menyebut dirinya dengan sebutan apa pun yang disukainya. 
Tetapi seseorang yang menyebut dirinya sebagai seorang Muslim mesti tahu dan mengerti bahawa ia hanya dapat dan tetap menjadi seorang Muslim selama ia berada dalam ikatan Islam. Ikatan Islam itu ialah menerima Al-Quran dan As-Sunnah Rasul sebagai landasan kebenaran dan keadilan serta memandang segala sesuatu yang bertentangan dengannya sebagai kebatilan. Islam adalah rahmat kerana aqidah yang dibawanya menyelamatkan manusia daripada kesesatan tersebut. Barangsiapa yang tetap tinggal dalam ikatan ini adalah seorang Muslim dan barangsiapa yang keluar daripada ikatan ini bererti ia telah keluar dari Islam.
“….Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Surah Al-Ma’idah: Ayat 44).
Pendeknya, nisbah kekufuran seseorang adalah menurut sejauh mana ia telah membangkang terhadap hukum Allah.
Penutup
Sebagai manusia kita harus berhukum berdasarkan kepada apa yang zahir di mata kita. Di situlah hukum syariat Allah. Manakala perkara ghaib itu kita serahkan kepada Allah kerana itulah hak-Nya. Hukum di dunia adalah berdasarkan apa yang zahir manakala hukum di akhirat adalah hak Allah. Kita tidak boleh berhukum berdasarkan andaian kerana ia hanya akan merungkaikan syariat Islam.
Apapun kekurangan umat Islam pada hari ini dan apapun kelemahan pentadbiran pemimpin Islam pada waktu ini tidak harus menghalang kita mengajak manusia ke arah Islam dan melunturkan mesej dakwah Islam. Kita tidak harus bersikap terlalu apologetik dengan niat mahu membuktikan kelembutan Islam sehingga menerangkan kepada masyarakat yang bukan Islam bahawa mereka berpeluang untuk ke syurga sekalipun tidak memeluk Islam. Niat baik tersebut sebenarnya tidak membantu menyelamatkan atau membawa manusia ke arah satu-satunya agama yang diredhai Allah. Malah, ia hanya menggalakkan penyuburan pemahaman pluralisme lalu mereka terus kekal sesat di dalam agama mereka di atas keyakinan bahawa semua agama adalah sama di sisi Allah swt.
Benarlah firman Allah swt, Al-Imran 19-20:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.”

Saturday, 19 April 2014

Kerana Karpal Singh, Kerja Tuhan Pun Nak Ambik Alih..

Kematian Karpal Singh benar-benar telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Beliau disahkan meninggal dunia akibat daripada kemalangan yang berlaku pada Khamis 17 April sekitar jam 1 pagi di Lebuhraya Utara Selatan dekat Gua Tempurung baru-baru ini. Kemalangan maut itu melibatkan van Toyota Alphard milik beliau bernombor KS 9898 melanggar belakang sebuah lori di KM301.6 arah Utara di situ.

Selain Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut terbunuh ialah pembantu beliau Michael Cornelius. Pemergian mendiang Karpal Singh ini amat dirasai oleh para penyokongnya. Sejak dari hari kematian beliau, para penyokongnya yang terdiri dari berbilang agama tidak putus mengucapkan takziah serta kata-kata semangat kepada ahli keluarga mendiang melalui laman-laman sosial di internet ini.

Namun begitu, terdapat sebilangan penyokong beliau yang beragama Islam yang terlampau taksub dengan mendiang sehinggakan sanggup melakukan perkara yang melampaui batasan agama dengan mengeluarkan kenyataan yang sama sekali boleh memesongkan akidah seseorang Islam itu.

Seperti apa yang berlaku di dalam laman sosial facebook hari ini, seorang penyokong mendiang yang beragama Islam sanggup mengeluarkan kenyataan yang terpesong dari ajaran agama Islam itu sendiri. Menurut akaun facebook "Benz Ali" hari ini, beliau sanggup menyamakan dirinya sendiri dengan Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta kerana terlalu sedih dengan kematian Karpal Singh itu.

"Rest in peace Karpal, Jika aku menjadi Tuhan, maka akan aku masukkan kau ke dalam syurga, dan rejam Zulkifli Nordin dalam neraka", itu lah ucapan yang dikeluarkan oleh penyokong tersebut tanpa menghiraukan agamanya sendiri.

Tidak menjadi kesalahan dalam Islam jika kita semua bersedih dengan kematian seseorang yang kita kenali walaupun si mati itu orang-orang kafir, tetapi janganlah terlampau taksub sehingga boleh menyebabkan seseorang itu terpesong dari agamanya sendiri. Kepada pelaku tersebut serta semua rakyat Islam khususnya, ingatlah bahawa sikap fanatik dan taksub adalah dilarang ALLAH SWT terhadap umat terdahulu seperti yang ditujukan khas kepada Ahli Kitab.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Katakanlah, “Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”. (Surah al-Ma’idah : 77)

Friday, 18 April 2014

Kisah Mengapa Mendiang Karpal Singh Tidak Memakai Turban


KISAH MENGAPA MENDIANG KARPAL SINGH TIDAK MEMAKAI SERBAN (TURBAN) | Pernah sekali penulis terdengar pergaduhan di Parlimen melibatkan mendiang Karpal Singh ketika penulis masih wartawan dengan sebuah syarikat akhbar arus perdana.

Ketika itu hari pembentangan Bajet (tak ingat tahun mana) dan sebelum pembentangan dibuat, Karpal bangun mempersoalkan sesuatu berhubung aturan di Parlimen.

Seperti biasa… maka timbullah suara yang mendesak beliau agar duduk… diselang seli dengan pertukaran kata-kata kasar dari kedua belah pihak (kerajaan dan pembangkang).

Antara yang penulis masih ingat adalah seorang Ahli Parlimen menjerit… “Hoi bengali, duduklah”.

Lepas itu, ada pulak yang menyambung… “Ini bukan bengali… ini bengali murtad… serban tarak,” .

Bengali kalau di rantau Asia Selatan bukan merujuk kepada orang Sikh tetapi kepada orang Bangladesh… tapi tidak mengapa dengan pemahaman seperti itu… ia tidak berapa penting buat masa ini.

Walaupun serban adalah tenet atau prinsip penting dalam agama Sikh, namun yang tidak memakainya bukan dikatakan murtad tetapi dikenali sebagai sahajdhari (berlajar dan menerima secara perlahan-lahan).

Seperti mendiang Karpal, beliau mengamalkan semua prinsip utama (5K) dan memakai serban pada waktu-waktu tertentu menjadikan beliau sebagai seorang sahajdhari.

Pemakai serban dan pengamal 4 lagi perkara wajib dikenali sebagai lelaki Khalsa.

Mengikut ajaran Sikh, tidak ada satu bulu pun di badan yang boleh dipotong atau dibuang. Penggunaan serban adalah bertujuan mengemaskan rambut panjang yang akan tumbuh selepas bertahun-tahun tidak dipotong.

Ok berbalik kepada tajuk rencana ini… mengapa Karpal Singh memilih untuk tidak mengenakan serban?

Jika mengikut wawancara beliau dengan sebuah akhbar berbahasa inggeris beberapa tahun lalu, Karpal berkata, beliau memakai serban secara tetap sehingga tahun 1970.

“Bagaimanapun, pada 1969 saya telah berada di kedai gunting rambut menunggu giliran saya untuk mengunting rambut saya yang panjang sebelum menoleh ke luar tingkap dan melihat ayah saya sedang menaiki basikal (lalu di hadapan kedai), saya terus gugup dan membatalkan hasrat.

“Tahun berikutnya saya berada di Alor Star dan ia sangat panas ketika itu yang merupakan musim menuai. Saya baru sahaja memulakan kerjaya sebagai peguam dan keperluan untuk membasuh dan mengikat rambut memakan masa yang amat lama. Saya berfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan.

“Ia bukan mudah untuk mengambil tindakan seperti itu. Saya berseorangan dalam bilik saya, berjalan mundar-mandir memikirkan keputusan saya. Akhirnya, saya mengikat rambut saya, mengambil gunting dan memotong bahagian ekornya. Kemudian saya ke kedai gunting rambut dan tukang gunting mencantikan potongan saya,” katanya.

Sudah melakukannya satu benda kata beliau, untuk berhadapan dengan ibu bapanya satu lagi hal besar.

“Saya memakai kembali serban tetapi ibu saya perasan yang ia kelihatan lain dari belakang dan mula menangis. Dia menjerit ‘kamu telah memalukan kami’.

“Nasib baik ayah saya menarik saya ketepi dan berkata; : Sabar, orang perempuan memang suka membuat kecoh. Teruskan memakai serban untuk sedikit masa lagi sehingga mereka dapat menerima idea itu,” katanya.

Karpal seterusnya menambah, beliau memakai lagi serban untuk setahun sebelum menanggalkannya.

“Namun, pada majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan anak saya, saya tetap akan pakai,” katanya.

Jadi… kita dapat fahamlah mengapa Karpal tidak memakai serban… satu tindakan yang diambil atas desakan kerjaya yang pada mula tidak diterima keluarganya tetapi kemudian boleh.

Akhir sekali… sahaja la penulis menulis rencana ini… bukan apa… mungkin ada yang berminat nak tahu.


Wednesday, 9 April 2014

Gambar Don Mustofa Anak Ustaz Don Di UK


Sudah lama kita tidak melihat wajah anak lelaki pendkawah terkenal Ustaz Don, anak lelaki beliau bernama Don Mustofa yang lahirkan Januari lalu.

Anak Ustaz Don dan isteri nya Husna Zahry ini di lahirkan di Kaherah Mesir, kini Don Mustofa sudah berusia 4 bulan, jom lihat wajah comel Don Mustofa di UK bersama bapa dan ibu nya disana.





Ustaz Don dan isteri serta anaknya Don Mustofa kini berada di UK mengadakan rakaman rancangan Kembara Cinta Rasul di Universiti Birmingham UK. Admin doakan keluarga ini kekal bahagia, murah rezeki dan dikurniakan keberkatan dari Allah SWT.