Tuesday 3 September 2013

Bersikap Rasional Dalam Menghadapi Kenaikan Harga Minyak..


Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan 20 sen bagi setiap liter petrol RON95 dan diesel berkuatkuasa selepas tengah malam tadi.

Seperti biasa ramai yang mempersoalkan "Kenapa harga petrol Malaysia tidak semurah Brunei"???. dan "kenapa Malaysia sebagai negara pengeluar minyak mempunyai harga petrol yang mahal"???. Kita sebenarnya tidak boleh membandingkan antara Malaysia dan Brunei kerana dari segi faktor kekayaan dan saiz populasi amat jauh bezanya.

Brunei mampu memberikan subsidi yang lebih untuk harga petrol kerana hampir kesemua kekayaan mereka diperolehi daripada hasil perolehan minyak. Dengan jumlah populasi hanya 407,000 iaitu lebih kecil daripada populasi bandar Seremban. Berbanding dengan Malaysia yang memiliki populasi seramai 27.57 juta orang.

Menjawab persoalan kedua iaitu kenapa Malaysia sebagai negara pengeluar minyak mempunyai harga petrol yang mahal. Jawapannya adalah kerana Malaysia bukanlah negara pengeluar minyak yang utama. Malaysia tidak layak untuk menanggotai OPEC (Organization of the Petroleum Exporting Countries) kerana kita lebih banyak mengimport minyak daripada mengeksportnya.

Sebenarnya banyak pihak gagal atau sengaja tidak membuat perbandingan yang menyeluruh. Tidak adil membandingkan harga petrol di Malaysia dengan negara pengeluar minyak lain, tanpa membandingkan juga jumlah pengeluaran minyaknya. Sebagai contoh tindakan membandingkan harga petrol di Arab Saudi, negara anggota OPEC yang mengeluarkan 10.25 juta tong minyak sehari, dengan harga petrol di Malaysia, negara bukan anggota OPEC yang hanya mengeluarkan 703,920 tong sehari, sudah tentu tidak wajar.

Kita masih lagi beruntung kerana jumlah subsidi minyak Malaysia ialah yang tertinggi antara mana-mana negara Asia Tenggara, iaitu sebanyak 2.4% daripada KDNK. Brunei, negara Asia Tenggara yang memiliki harga petrol terendahpun hanya membelanjakan 2.2% sahaja daripada KDNK untuk subsidi minyak. Adalah perlu diingatkan bahawa KDNK Brunei (RM36.88 Billion) ialah kecil berbanding Malaysia (RM682.66 Billion).

Harga petrol di Malaysia masih murah dan secara perbandingan, harga petrol di Malaysia adalah kedua termurah di antara 7 buah negara-negara jirannya di Asia Tenggara. Bersyukurlah...

No comments:

Post a Comment