Dalam diam-diam ketiga-tiga parti ini telah pun menyenaraikan 30 pemimpin bagi mengisi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Lebih menarik masing-masing merahsiakan antara satu sama lain. kemuncaknya dalam Rapat Pimpinan Nasional PKR 2012 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa 20 pemimpin kanan PKR dijangka mewarnai jemaah menteri Kerajaan Pusat. Pengumuman itu, seperti dijangka, telah ditempelak DAP kerana tidak pernah dibincangkan langsung dalam mana-mana mesyuarat Pakatan Pembangkang.
Mana tidaknya kerana DAP sendiri telah pun menyenaraikan 30 pemimpin dan anggota parti itu bagi mengisi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri jika berjaya menawan Putrajaya. Namun, perkara ini belum dibawa ke mesyuarat PR memandangkan Anwar belum menetapkan agenda khas untuk membincangkannya setakat ini. Lebih menarik lagi, sumber-sumber dalaman parti PAS juga memberitahu bahawa PAS sendiri telah menyediakan senarai nama 30 orang pemimpin dan anggota parti itu untuk dikemukakan ke mesyuarat PR sebagai bakal Menteri dan Timbalan Menteri jika berjaya menawan Putrajaya.
Nampaknya, parti-parti sekutu PR masing-masing ‘menyimpan’ sendiri nama-nama bakal Menteri dan Timbalan Menteri yang akan mereka lantik tanpa mendedah atau berkongsi maklumat walaupun sesama sendiri. Kerana itu, PR masih gagal mengenalpasti ‘bayang-bayang’ mereka yang boleh disenaraikan dalam Kabinet Bayangan sehingga kini.
Sebenarnya, masalah PR untuk menyediakan Kabinet Bayangan bukan hanya terletak kepada kesukaran untuk mencari calon yang layak dan sesuai, tetapi yang lebih kritikal ialah untuk mendapatkan persetujuan semua pihak dari semua parti sekutu dari segi calon dan juga jumlah wakil dari setiap parti. Anwar sebagai PM tidak mungkin boleh mengumumkan tiga kabinet berasingan kerana ia akan menyebabkan memerintah dan mentadbir negara menjadi sesuatu yang mustahil. Justeru, Anwar tidak ada pilihan selain dari mempertimbangkan semua nama-nama yang disenaraikan oleh kesemua parti untuk jawatan kabinet.
Jika ini berlaku, maka kabinet PR pastinya akan tercatat dalam sejarah sebagai kabinet paling besar dengan sekurang-kurangnya 80 Menteri dan Timbalan Menteri. Ia juga pasti akan direkodkan sebagai yang paling membazir dalam sejarah. Dengan begitu ramai Menteri, Anwar mungkin boleh ‘merekacipta’ berbagai portfolio baru atau memecahkan satu-satu portfolio kepada beberapa bahagian. Contohnya, tiada lagi Menteri Pengangkutan secara umum, tetapi akan diwujudkan Menteri Kereta, Menteri Kapal Terbang, Menteri Motorsikal atau Menteri Jet Peribadi.
No comments:
Post a Comment