Saturday, 26 April 2014

Obama Tiba Untuk Lawatan Bersejarah Ke Malaysia




SUBANG - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba di Malaysia pada Sabtu untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika negara berdepan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, dan misi mencari turut dibantu kapal selam drone Tentera Laut AS.

Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada kira-kira 4.50 petang selepas enam jam penerbangan dari Korea Selatan, disifatkan beliau sebagai lawatan bersejarah ke Malaysia.

Lawatan tiga hari ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk adalah sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara di Asia, julung kali oleh presiden AS yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Memakai sut berwarna hitam, Obama muncul keluar dari Boeing 747-200B - yang dilengkapi kemudahan dan merupakan pejabat presiden di udara yang juga pesawat paling dikenali di dunia - dengan disambut mesra oleh pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Hadir menyambut beliau dengan ucapan "Selamat Datang" ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Duta Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Sebelum ke Malaysia, presiden ke-44 AS itu yang mula memegang tampuk pemerintahan pada 2009 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2012, melawat Jepun dan Korea Selatan. Selepas Malaysia, beliau akan meneruskan lawatan ke Filipina.

Kawalan keselamatan di pangkalan udara itu yang terletak di pinggir ibu negara Malaysia Kuala Lumpur amat ketat dengan beratus-ratus anggota keselamatan ditugaskan untuk berkawal.

Obama beredar dari pangkalan udara itu untuk ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur bagi upacara sambutan rasmi dengan menaiki limousin presiden beliau.

Semalam, Anifah berkata lawatan presiden AS itu menandakan bermulanya peningkatan hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat kepada sebuah perkongsian komprehensif.

Beliau berkata, hubungan baik yang terjalin antara Obama dan Najib akan memastikan perbincangan berkaitan ekonomi, keselamatan dan hubungan rakyat kepada rakyat adalah terbuka, konstruktif dan produktif.

Menurut pegawai, usaha untuk mengesan MH370 yang sedang giat dijalankan di selatan Lautan Hindi mungkin akan disentuh dalam perbincangan di Putrajaya.

Kenderaan Dalam Air Automatik Bluefin-21 yang dilengkapi alat sonar telah menjalankan misi mencari di kawasan dikenal pasti di Lautan Hindi sejak 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat yang hilang itu.

Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Malam ini, presiden dijadual menghadap raja Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan menghadiri jamuan negara di Istana Negara.

Pada Ahad, Obama akan mengadakan perbincangan dengan Najib di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya sebelum ke Cyberjaya yang terletak berdekatan untuk majlis pelancaran Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC) yang akan menyediakan platform untuk usahawan melebarkan sayap mereka.

Atur cara lawatan Obama termasuk sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari seluruh Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara. - Bernama

Pemimpin PKR Selangor 'Dayus'’ Tidak Pertahan MB


Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor disifatkan seolah-olah bersikap ‘dayus’ kerana bersikap berdiam diri apabila seorang pemimpin kanan DAP, Jeff Ooi secara terbuka mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Wan Indra Putra Ahmad berkata, tindakan pemimpin kanan DAP terbabit, Jeff Ooi mengkritik pentadbiran Abdul Khalid itu sepatutnya dipandang serius kerana bukan sahaja menjurus kepada Menteri Besar Selangor itu tetapi melibatkan PKR di Selangor secara keseluruhannya.

"Bagaimana pemimpin PKR Selangor sanggup berdiam diri apabila Menteri Besar mereka dikritik seorang pemimpin yang bukan mewakili rakyat di Selangor tetapi di Pulau Pinang. Saya difahamkan Jeff Ooi turut mengkritik kerajaan ne­geri yang gagal menguruskan isu catuan bekalan air di Selangor.

"Apakah pemimpin PKR di Selangor tidak berani untuk mempertahankan seorang Menteri Besar dalam kalangan mereka sendiri. Ini yang perlu dijelaskan oleh para pemimpin PKR di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jeff Ooi yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong menerusi laman Facebooknya dilaporkan secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid dan menggesa beliau dipecat sebagai Menteri Besar Selangor kerana didakwa gagal menangani isu air di negeri ini.

Wan Indra tidak menolak kemungkinan tindakan Jeff Ooi seolah-olah mempunyai kaitan dengan politik khususnya melibatkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan populariti Abdul Khalid dalam PKR.

Ini kerana berdasarkan pemerhatian beliau, Abdul Khalid dilihat berada dalam kedudukan selesa lebih-lebih lagi pada pemilihan parti itu pada Mei ini berbanding pencabar­nya yang turut bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

"Justeru Jeff Ooi mungkin berperanan sebagai ‘kaki pukul’ oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Abdul Khalid. Dari segi logiknya, wajarkah seorang ahli Parlimen dari Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mencampuri urusan pentadbiran di Selangor.

"Mungkin juga kerana Abdul Khalid sebelum ini bertindak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan Kerajaan Pusat sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak senang pemimpin dalam pakatan pembangkang. Mereka mungkin menganggap Abdul Khalid seorang Menteri Besar yang mesra dengan Kerajaan Pusat," katanya.


Obama akan jumpa proksi liberal




Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dijadualkan akan bertemu dengan beberapa pertubuhan proksi liberal sempena lawatannya ke Malaysia bermula hari ini sehingga Isnin.

Antara NGO liberal itu ialah BERSIH, Sisters in Islam (SIS), Tenaganita dan Islamic Renaissance Front (IRF).

Lapor Malaysiakini, wakil NGO itu gembira dengan jemputan Obama dan menganggap itu sebagai pengiktirafan presiden AS dengan keperluan melibatkan diri dengan masyarakat sivil di Malaysia.

Kira-kira 10 orang telah diundang oleh kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk pertemuan itu, cuma masa dan tempat masih belum dimaklumkan.

Turut mendapat undangan yang sama ialah wakil Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Kedatangan Obama ke Malaysia ini adalah selepas lawatan terakhir Lyndon B Johnson hampir 50 tahun lalu pada 30 hingga 31 Oktober 1966.

Friday, 25 April 2014

PAS Perlu Berundur Dari PR Jika Laksana Hudud – Anthony Loke


Sekali lagi isu pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan menjadi polemik yang hangat dalam media massa arus perdana. Isu ini timbul semula selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan di Parlimen kesediaan Kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh UMNO untuk membantu PAS melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan.

Isu pelaksanaan Hudud sebenarnya bukan satu isu baru dalam persada politik Malaysia. Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah diluluskan di DUN Kelantan pada tahun 1993 dan di DUN Terengganu pada tahun 2002.

Namun, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana undang-undang yang melibatkan jenayah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan hanya boleh diluluskan melalui Parlimen. Jadi, itulah sebabnya dikatakan bahawa pelaksanaan Hudud adalah tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Semua pihak mengetahui pendirian DAP dalam isu ini iaitu DAP tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang tersebut kerana ia tidak pratikal dan tidak sesuai dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Bagaimanakah penguatkuasaan undang-undang jenayah dapat dijalankan dengan berkesan sekiranya ada dua set undang-undang yang diaplikasikan secara berlainan kepada orang yang beragama Islam dan bukan Islam. Jenayah tidak ada sempadan warna kulit dan agama dan adalah mustahil penjenayah hanya melakukan jenayah ke atas mangsa dari kalangan agamanya sendiri sahaja.

DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan Hudud tidak sama sekali bersamaan dengan DAP menentang agama Islam ataupun anti-Islam. DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan ataupun phobia di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MCA.

Malah, saya sendiri pernah mempertahankan Tok Guru Nik Aziz di Parlimen apabila pemimpin MCA memfitnah Tok Guru kononnya beliau mengizinkan wanita yang tidak menutup aurat dirogol. Saya juga pernah mengatakan kepada masyarakat bukan Islam bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti sekiranya kita tidak mencuri dan merompak.

Ya, DAP sanggup mempertahankan PAS untuk membantu PAS dalam proses mengikis ketakutan dan perasaan phobia di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan agama Islam supaya PAS boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Kita mahu mereliasasikan perubahan politik di bawah Pakatan Rakyat untuk membawa agenda politik yang baru yang menekankan prinsip-prinsip keadilan untuk semua, pentadbiran yang baik tanpa rasuah dan meninggalkan politik perkauman warisan UMNO dan Barisan Nasional. Kita menghayati dan serius dalam misi tersebut.

aidc.com

Pembangkang Kalah Lebih Besar Kerana HUDUD


DAP hari ini memberikan gambaran bagaimana kekalahan yang lebih besar akan dialami Pakatan Rakyat (PR) dan PAS sekiranya PAS terus berkeras untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Penasihat parti, Lim Kit Siang berkata hudud tidak pernah dan tidak akan memenangi hati pengundi berdasarkan sejarah pilihan raya yang lalu.

“PAS dan PKR menang lapan kerusi Parlimen dan 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) akibat penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi.

“Walaupun enakmen diluluskan pada 2001, PAS dan PKR hanya memenangi 1 daripada 8 kerusi Parlimen dan 4 daripada 28 kerusi DUN pada PRU11 2004," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata kemenangan PAS dan PKR di Terengganu memenangi 4 daripada lapan kerusi Parlimen dan 15 dari 32 kerusi DUN adalah disebabkan tiada kempen melaksanakan hudud di negeri itu.

Katanya, walaupun “5 Janji Awal Manifesto PAS Terengganu” dan “5 Manifesto PRU13” tidak memasukkan hudud namun ia tidak menyebabkan PAS tewas di Terengganu.

"Apa yang menarik adalah walaupun PAS Terengganu memasukkan pelaksanaan hudud semasa manifesto Barisan Alternatif sebelum 2008, ia tidak menjadikan PAS dan PKR menang lebih banyak kerusi di peringkat DUN.

"Bukankah ini satu petunjuk pengundi di Terengganu meletakkan kepentingan kepada isu lain berbanding pelaksanaan hudud?" katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata sekiranya PAS berkeras mahu melaksanakan hudud sebelum PRU13 lalu maka sokongan orang Melayu kepada PR akan berkurangan - TMI

Universiti Antarabangsa Albukhary Tak Jadi Tutup


Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) di Alor Setar, Kedah menarik balik keputusan untuk menutup operasinya, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pihak pengurusan institusi pengajian tinggi swasta itu kepada kementerian melalui sepucuk surat semalam.

"Universiti tersebut menghantar surat kepada Kementerian Pendidikan untuk menarik balik keputusan penutupan operasi mereka semalam dan ia akan terus beroperasi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana pada program Wacana Intelekual 2014 'Renaisans Melayu' di Auditorium RTM di sini Khamis.

Oleh yang demikian, perkara itu kini tidak lagi menjadi satu isu, katanya.

Mengenai faktor yang membawa keputusan penutupan AiU di peringkat awal pula, beliau berkata kementerian sentiasa memantau dan memastikan tidak ada perkara yang terkeluar daripada akta-akta tertentu bagi universiti swasta.

Ketika ditanya berhubung prestasi AiU, Idris berkata ia adalah isu yang berlainan namun kementerian sentiasa memantau supaya ia memenuhi kehendak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Mengulas berhubung pelajar AiU yang menyaman institusi itu, beliau berkata ia adalah isu dan masalah yang dihadapi antara kedua-dua pihak.

Pada 15 April lepas, enam pelajar AiU memfailkan saman terhadap universiti itu atas dakwaan gagal memberi notis penutupan AiU dalam tempoh yang ditetapkan oleh Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang memperuntukkan AiU perlu mengeluarkan notis penutupan dalam tempoh setahun.

Operasi universiti yang ditubuhkan oleh Yayasan Albukhary itu dilaporkan akan ditutup Jun ini.

AiU dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana beroperasi secara wakaf iaitu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penuntut yang rata-rata daripada golongan miskin dari seluruh dunia. - Bernama.

PRK Bukit Gelugor : Wajarkah BN Meletakkan Calon?

SHAH ALAM: Adalah sukar bagi BN menggugat kedudukan DAP di Parlimen Bukit Gelugor memandangkan parti itu berjaya memperoleh majoriti undi selesa pada PRU13 lalu.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, sudah tiga penggal DAP menguasai Parlimen itu dan ternyata mereka berjaya meningkatkan majoriti undi sejak 2004.
“Peningkatan majoriti yang mendadak membuktikan rakyat di kawasan itu menerima baik pimpinan DAP yang diterajui oleh Karpal Singh.
“Pada 2004, Karpal berjaya memperoleh majoriti undi sebanyak 1,261 undi. Beliau terus mendapat sokongan baik apabila menang selesa dengan majoriti besar iaitu 42,706 undi pada PRU13 lalu,” katanya, semalam.
Menurut Sivamurugan, bukan sahaja sokongan rakyat terhadap parti menjadi faktor kemenangan DAP dalam PRK kali ini, tetapi faktor kematian Karpal yang tragis juga boleh menarik undi simpati orang ramai.
Katanya, soal calon bukan masalah besar buat DAP kerana siapa pun yang diletakkan, parti itu mempunyai peluang cerah.
Sivamurugan turut berpendapat adalah baik BN tidak meletakkan calon mereka kali ini dan lebih memfokuskan sasaran untuk PRU14.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika BN tetap mahu meletakkan calon, medan PRK kali ini boleh menjadi batu ukuran buat mereka khususnya MCA dari segi peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu.
“Di atas kertas peluang BN tipis, hanya bergantung pada bagaimana DAP mengurus isu berbangkit,” katanya.