Tuesday 29 April 2014

Pesawat Penumpang Patah Balik Ke Perth Akibat Enjin Terbakar



PERTH: Sebuah pesawat penumpang berpatah balik di Lapangan Terbang Perth, pagi ini dan melakukan pendaratan cemas selepas salah satu enjinnya terbakar sebaik berlepas.

Penumpang pesawat Cobham Aviation memberitahu, mereka melihat api marak dan asap dari enjin yang terbakar sebaik pesawat berlepas jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Pesawat bagaimanapun berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Barrow Island.

Cobham Aviation Services dalam satu kenyataannya berkata, pesawat BAE 146 empat enjin itu kembali ke Lapangan Terbang Perth jam 10.53 pagi.

Katanya, kejadian berlaku ketika pesawat sedang naik ke ruang udara apabila enjin nombor duanya tiba-tiba terbakar.

Ketika kejadian pesawat membawa 92 penumpang, dua juruterbang dan tiga anak kapal dan semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penumpang pesawat, Jason Grimmett, berkata kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas pesawat berlepas.
"Saya duduk di sebelah kanan enjin dan tiba-tiba kepulan asap keluar dari enjin.

"Minyak bertaburan di udara sebelum api menyambar dan keadaan panik ketika itu namun juruterbang bertindak pantas untuk menutup saluran minyak," katanya. - ABC News

Diskriminasi Apakah Yang Obama Maksudkan?

Jemaah Menteri yang pertama yang berbilang kaum. Gambar  laman web Arkib Negara.

Apabila Presiden Obama dilapor mengatakan Malaysia akan maju hanya apabila tiada lagi diskriminasi terhadap kaum minoriti, beberapa perkara timbul di dalam pemikiran – apakah diskriminasi di Malaysia yang beliau maksudkan?

1. Ketika berlaku peristiwa Rosa Parks 1955 di Amerika Syarikat, wanita tersebut dipaksa bangun untuk memberi tempat duduk kepada seorang bangsa kulit putih semata-mata kerana beliau berkulit hitam. Keberanian beliau menolak paksaan tersebut telah menjadi inspirasi kepada gerakan sivil di negara Amerika. Pada tahun yang sama, Persekutuan Tanah Melayu baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum Pertama dan Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Sebuah jemaah menteri telah dibentuk dan 4 daripada 13 kerusi menteri diberikan kepada bangsa bukan Melayu (V T Sambathan, Colonel H S Lee, Ong Yoke Lin, Tan Siew Sin). Mereka memegang portfolio penting Persekutuan Tanah Melayu ketika Amerika Syarikat masih mengamalkan prinsip segregasi perkauman yang hanya mulai dimansuhkan secara rasmi pada Disember 1956. Ketika negara Amerika Syarikat masih membincangkan bolehkah bangsa kulit hitam duduk di sebelah bangsa kulit putih di dalam bas, Persekutuan Tanah Melayu telah melihat bangsa Cina dan India duduk bersama sebagai jemaah menteri.

2. Ketika pelaksanaan polisi integrasi masih menjadi isu hangat di Amerika Syarikat tahun 70an dan 80an, kita di Malaysia sudah pun hidup dalam keadaan tenang dan harmoni. Di sekolah rendah, guru matematik saya berbangsa India. Guru mata pelajaran bahasa Melayu saya semasa darjah satu adalah berbangsa Cina. Tempat ayah saya beli surat khabar adalah dari kawan rapat beliau yang berbangsa India. Tempat ayah saya bawa saya minum pagi adalah di restoran Cina – dengan menu biasa air teh dalam cawan klasik sambil makan telur separuh masak, saya belajar memandu kereta dari kawan ayah saya berbangsa Cina yang menyewa di deretan kedai kepunyaan arwah datuk saya, kadang-kadang makan malam nasi goreng Cina di restoran Mee Fong atau minum air longsoi di kedai Cina depan Masjid Batu Gajah. Kadang-kadang makan tengahari di rumah mendiang Puan Bala atau lepak di tepi rumah Cikgu Soon yang semua takut sebab khabar angin mengatakan beliau pernah karate seorang pelajar beliau. Itu hanya sedikit daripada cerita pengalaman sewaktu saya membesar di Batu Gajah. Belum cerita pengalaman hidup di Sarawak lagi.

3. Bangsa minoriti di Amerika Syarikat masih memerlukan “affirmative action”. Namun 5 hari lepas, Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat memutuskan bahawa perubahan perlembagaan Michigan yang menghalang “affirmative action” yang boleh membantu golongan bangsa kulit hitam dan hispanik mendapat tempat di universiti adalah dibenarkan. Keputusan 6-2 Mahkamah Tinggi ini bermakna golongan minoriti tersebut akan lebih sukar mendapat tempat di universiti (http://www.nytimes.com/2014/04/23/us/supreme-court-michigan-affirmative-action-ban.html). Bagaimana pula di Malaysia? Lim Kok Wing ada universiti beliau yang tersendiri. Di Amerika Syarikat, polisi “affirmative action” dilaksanakan untuk memastikan kaum minoriti mendapat hak yang sama dengan kaum majoriti (bangsa kulit putih) dalam semua aspek kerana mereka yang ketinggalan. Di Malaysia, polisi “affirmative action” diperlukan untuk memastikan kaum majoriti tidak ketinggalan dalam aspek ekonomi dibandingkan dengan kaum minoriti kerana di Malaysia realitinya bangsa bumiputera yang ketinggalan.

Banyak lagi contoh di Malaysia dan sejarah membuktikan bahawa bangsa bumiputera di Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah bangsa yang paling bermurah hati dan mudah bertolak ansur berbanding bangsa kulit putih di Amerika Syarikat. Jangan sesekali kita berasa rendah diri dengan Amerika Syarikat dalam hal ini.

Ya, Obama berasal daripada bangsa berkulit hitam dan beliau boleh menjadi Presiden Amerika Syarikat. Tetapi beliau telah menganut pemahaman agama, berbahasa dan berfikiran politik berdasarkan teras bangsa majoriti di Amerika Syarikat. Jika ada individu dari kalangan bangsa minoriti di Malaysia yang menganut agama Islam, fasih berbahasa Melayu dan boleh tulis jawi serta berkebolehan untuk memimpin, saya tidak melihat salahnya kalau individu tersebut boleh menjadi Perdana Menteri di Malaysia.

Kita juga tidak nafikan masih lagi ada ruang yang banyak untuk memperbaiki struktur pengagihan kekayaan negara di Malaysia tetapi isunya bukan diskriminasi. Isunya adalah pelaksanaan sistem dan polisi oleh segolongan pihak di dalam parti pemerintah yang tidak mengutamakan ketakwaan sebaliknya mengumpulkan harta berasaskan perasaan tamak haloba. Yang memburukkan lagi keadaan, beberapa pihak dari kalangan musuh politik mengambil kesempatan dan menyalahkan seluruh bangsa majoriti kononnya menindas bangsa minoriti. Mereka lalu mencipta “suasana baru” kononnya tiada keharmonian kaum dan penindasan berlaku sejak merdeka. Mungkin versi ini yang Obama ambil dan baca.

Kalau benar, itulah ucapan yang beliau patut ungkapkan ketika melawat negara haram Israel, bukannya ketika melawat Malaysia.

Monday 28 April 2014

Kenyataan Obama Berat Sebelah - Ibrahim Ali

Nampak begitu ghairah pihak-pihak tertentu menguna kenyataan Obama ‘Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak diberi peluang yang sama’.
Kenyataan ini seolah-olah selama ini bukan Islam tidak mendapat hak dan layanan yang adil.
Kalau benar, kenapa bukan Islam menguasai hampir 60% ekonomi negara.
Siapa miliki bangnunan pencakar langit, gedung-gedung besar dan rumah kedai dalam bandar.
Kerajaan membiayai sekolah jenis kebangsaan, walaupun ada yang mendakwa bertentangan dengan perlembagaan.
Orang yang mengatakan Malaysia menafikan hak bukan Islam adalah orang kurang waras dan kurang akal.
Hanya sekadar untuk timbul suasana keruh antara kaum. Saya nak tanya Obama, layanan apa pihak Israel beri pada penduduk asal rakyat Palestin?
Bercakap tak serupa bikin. Kenapa Obama tidak nasihat penduduk bukan Islam wajib menghormati kaum majoriti negara ini iaitu penganut Islam?
Mengapa tidak nasihati bukan Islam menghormati perjanjian sosial kontrak yang pasti menjamin kejayaan Malaysia?
Obama seperti lain-lain Presiden Amerika juga tidak telus. Kedatangannya ke Malaysia dengan membuat kenyataan berat sebelah hanya menambahkan lagi ketegangan kaum yang membantu kepada kesalahan fakta dan fahaman.
Ibrahim Ali 

Wakil Rakyat DAP Mahu MB Buktikan Air Lombong Tidak Beracun!



Anggota Parlimen Klang daripada DAP Charles Santiago mendesak kerajaan Selangor mengeluarkan laporan Jabatan Kesihatan berhubung air daripada lombong yang disalurkan ke Sungai Selangor bagi menghadapi masalah kekurangan air.

“Laporan itu patut memperincikan kandungan kimia termasuk pencemaran atau kandungan toksik, jika, ada daripada pelbagai lombong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada pelan kecemasan mengepam air daripada lombong terbiar bagi membekalkan air ke lori rawatan ekoran aras Sungai Selangor dalam keadaan kritikal.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum imi menjamin kaedah itu selamat ekoran lombong itu tidak digunakan untuk jangka masa lama dan Jabatan Kesihatan tidak mempunyai sebarang kebimbangan keselamatan berhubung langkah itu.

Santiago bagaimanapun berkata, beliau menerima banyak aduan daripada kumpulan profesional kesihatan yang tidak yakin dengan jaminan itu.

“Terdapat kebimbangan lombong terbiar itu tahun demi tahun menjadi tempat mendapan pencemaran dan kandungan toksik termasuk bahan radioaktif.

“Kebanyakan takungan lombong tidak diurus atau dirawat untuk pemulihan,” katanya.

Obama Akhiri Lawatan Dengan Menyaksikan Pemeteraian Tiga MoU Antara Syarikat Malaysia dan AS


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan AS membabitkan pelaburan bernilai AS2bilion.
Perjanjian itu adalah antara Sime Darby-Verdezyne dalam bidang bioteknologi yang bakal mewujudkan 300 pekerjaan serta antara GE dan AirAsia untuk penyelenggaraan 25 pesawat baharu A330 AirAsia X.
Satu lagi MoU ialah antara MetLife dengan Kumpulan ArabMalaysian untuk pembelian saham dalam AmLife dan AmTakaful.
Majlis pemeteraian MoU itu berlangsung di Ritz Carlton Hotel,

Saturday 26 April 2014

Obama Tiba Untuk Lawatan Bersejarah Ke Malaysia




SUBANG - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama tiba di Malaysia pada Sabtu untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika negara berdepan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, dan misi mencari turut dibantu kapal selam drone Tentera Laut AS.

Pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada kira-kira 4.50 petang selepas enam jam penerbangan dari Korea Selatan, disifatkan beliau sebagai lawatan bersejarah ke Malaysia.

Lawatan tiga hari ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk adalah sebahagian daripada lawatan Obama ke empat negara di Asia, julung kali oleh presiden AS yang memegang jawatan dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Memakai sut berwarna hitam, Obama muncul keluar dari Boeing 747-200B - yang dilengkapi kemudahan dan merupakan pejabat presiden di udara yang juga pesawat paling dikenali di dunia - dengan disambut mesra oleh pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Hadir menyambut beliau dengan ucapan "Selamat Datang" ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Duta Malaysia ke AS, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Sebelum ke Malaysia, presiden ke-44 AS itu yang mula memegang tampuk pemerintahan pada 2009 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2012, melawat Jepun dan Korea Selatan. Selepas Malaysia, beliau akan meneruskan lawatan ke Filipina.

Kawalan keselamatan di pangkalan udara itu yang terletak di pinggir ibu negara Malaysia Kuala Lumpur amat ketat dengan beratus-ratus anggota keselamatan ditugaskan untuk berkawal.

Obama beredar dari pangkalan udara itu untuk ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur bagi upacara sambutan rasmi dengan menaiki limousin presiden beliau.

Semalam, Anifah berkata lawatan presiden AS itu menandakan bermulanya peningkatan hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat kepada sebuah perkongsian komprehensif.

Beliau berkata, hubungan baik yang terjalin antara Obama dan Najib akan memastikan perbincangan berkaitan ekonomi, keselamatan dan hubungan rakyat kepada rakyat adalah terbuka, konstruktif dan produktif.

Menurut pegawai, usaha untuk mengesan MH370 yang sedang giat dijalankan di selatan Lautan Hindi mungkin akan disentuh dalam perbincangan di Putrajaya.

Kenderaan Dalam Air Automatik Bluefin-21 yang dilengkapi alat sonar telah menjalankan misi mencari di kawasan dikenal pasti di Lautan Hindi sejak 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat yang hilang itu.

Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Malam ini, presiden dijadual menghadap raja Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan menghadiri jamuan negara di Istana Negara.

Pada Ahad, Obama akan mengadakan perbincangan dengan Najib di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya sebelum ke Cyberjaya yang terletak berdekatan untuk majlis pelancaran Malaysian Global Innovation and Creative Centre (MaGIC) yang akan menyediakan platform untuk usahawan melebarkan sayap mereka.

Atur cara lawatan Obama termasuk sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia dari seluruh Asia Tenggara dan melawat Masjid Negara. - Bernama

Pemimpin PKR Selangor 'Dayus'’ Tidak Pertahan MB


Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor disifatkan seolah-olah bersikap ‘dayus’ kerana bersikap berdiam diri apabila seorang pemimpin kanan DAP, Jeff Ooi secara terbuka mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Wan Indra Putra Ahmad berkata, tindakan pemimpin kanan DAP terbabit, Jeff Ooi mengkritik pentadbiran Abdul Khalid itu sepatutnya dipandang serius kerana bukan sahaja menjurus kepada Menteri Besar Selangor itu tetapi melibatkan PKR di Selangor secara keseluruhannya.

"Bagaimana pemimpin PKR Selangor sanggup berdiam diri apabila Menteri Besar mereka dikritik seorang pemimpin yang bukan mewakili rakyat di Selangor tetapi di Pulau Pinang. Saya difahamkan Jeff Ooi turut mengkritik kerajaan ne­geri yang gagal menguruskan isu catuan bekalan air di Selangor.

"Apakah pemimpin PKR di Selangor tidak berani untuk mempertahankan seorang Menteri Besar dalam kalangan mereka sendiri. Ini yang perlu dijelaskan oleh para pemimpin PKR di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jeff Ooi yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong menerusi laman Facebooknya dilaporkan secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid dan menggesa beliau dipecat sebagai Menteri Besar Selangor kerana didakwa gagal menangani isu air di negeri ini.

Wan Indra tidak menolak kemungkinan tindakan Jeff Ooi seolah-olah mempunyai kaitan dengan politik khususnya melibatkan pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan populariti Abdul Khalid dalam PKR.

Ini kerana berdasarkan pemerhatian beliau, Abdul Khalid dilihat berada dalam kedudukan selesa lebih-lebih lagi pada pemilihan parti itu pada Mei ini berbanding pencabar­nya yang turut bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

"Justeru Jeff Ooi mungkin berperanan sebagai ‘kaki pukul’ oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan Abdul Khalid. Dari segi logiknya, wajarkah seorang ahli Parlimen dari Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mencampuri urusan pentadbiran di Selangor.

"Mungkin juga kerana Abdul Khalid sebelum ini bertindak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan Kerajaan Pusat sebelum ini telah menimbulkan rasa tidak senang pemimpin dalam pakatan pembangkang. Mereka mungkin menganggap Abdul Khalid seorang Menteri Besar yang mesra dengan Kerajaan Pusat," katanya.


Obama akan jumpa proksi liberal




Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dijadualkan akan bertemu dengan beberapa pertubuhan proksi liberal sempena lawatannya ke Malaysia bermula hari ini sehingga Isnin.

Antara NGO liberal itu ialah BERSIH, Sisters in Islam (SIS), Tenaganita dan Islamic Renaissance Front (IRF).

Lapor Malaysiakini, wakil NGO itu gembira dengan jemputan Obama dan menganggap itu sebagai pengiktirafan presiden AS dengan keperluan melibatkan diri dengan masyarakat sivil di Malaysia.

Kira-kira 10 orang telah diundang oleh kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk pertemuan itu, cuma masa dan tempat masih belum dimaklumkan.

Turut mendapat undangan yang sama ialah wakil Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Kedatangan Obama ke Malaysia ini adalah selepas lawatan terakhir Lyndon B Johnson hampir 50 tahun lalu pada 30 hingga 31 Oktober 1966.

Friday 25 April 2014

PAS Perlu Berundur Dari PR Jika Laksana Hudud – Anthony Loke


Sekali lagi isu pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan menjadi polemik yang hangat dalam media massa arus perdana. Isu ini timbul semula selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan di Parlimen kesediaan Kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh UMNO untuk membantu PAS melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan.

Isu pelaksanaan Hudud sebenarnya bukan satu isu baru dalam persada politik Malaysia. Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah diluluskan di DUN Kelantan pada tahun 1993 dan di DUN Terengganu pada tahun 2002.

Namun, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana undang-undang yang melibatkan jenayah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan hanya boleh diluluskan melalui Parlimen. Jadi, itulah sebabnya dikatakan bahawa pelaksanaan Hudud adalah tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Semua pihak mengetahui pendirian DAP dalam isu ini iaitu DAP tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang tersebut kerana ia tidak pratikal dan tidak sesuai dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Bagaimanakah penguatkuasaan undang-undang jenayah dapat dijalankan dengan berkesan sekiranya ada dua set undang-undang yang diaplikasikan secara berlainan kepada orang yang beragama Islam dan bukan Islam. Jenayah tidak ada sempadan warna kulit dan agama dan adalah mustahil penjenayah hanya melakukan jenayah ke atas mangsa dari kalangan agamanya sendiri sahaja.

DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan Hudud tidak sama sekali bersamaan dengan DAP menentang agama Islam ataupun anti-Islam. DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan ataupun phobia di kalangan orang bukan Islam terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin MCA.

Malah, saya sendiri pernah mempertahankan Tok Guru Nik Aziz di Parlimen apabila pemimpin MCA memfitnah Tok Guru kononnya beliau mengizinkan wanita yang tidak menutup aurat dirogol. Saya juga pernah mengatakan kepada masyarakat bukan Islam bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti sekiranya kita tidak mencuri dan merompak.

Ya, DAP sanggup mempertahankan PAS untuk membantu PAS dalam proses mengikis ketakutan dan perasaan phobia di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan agama Islam supaya PAS boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Kita mahu mereliasasikan perubahan politik di bawah Pakatan Rakyat untuk membawa agenda politik yang baru yang menekankan prinsip-prinsip keadilan untuk semua, pentadbiran yang baik tanpa rasuah dan meninggalkan politik perkauman warisan UMNO dan Barisan Nasional. Kita menghayati dan serius dalam misi tersebut.

aidc.com

Pembangkang Kalah Lebih Besar Kerana HUDUD


DAP hari ini memberikan gambaran bagaimana kekalahan yang lebih besar akan dialami Pakatan Rakyat (PR) dan PAS sekiranya PAS terus berkeras untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Penasihat parti, Lim Kit Siang berkata hudud tidak pernah dan tidak akan memenangi hati pengundi berdasarkan sejarah pilihan raya yang lalu.

“PAS dan PKR menang lapan kerusi Parlimen dan 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) akibat penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi.

“Walaupun enakmen diluluskan pada 2001, PAS dan PKR hanya memenangi 1 daripada 8 kerusi Parlimen dan 4 daripada 28 kerusi DUN pada PRU11 2004," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata kemenangan PAS dan PKR di Terengganu memenangi 4 daripada lapan kerusi Parlimen dan 15 dari 32 kerusi DUN adalah disebabkan tiada kempen melaksanakan hudud di negeri itu.

Katanya, walaupun “5 Janji Awal Manifesto PAS Terengganu” dan “5 Manifesto PRU13” tidak memasukkan hudud namun ia tidak menyebabkan PAS tewas di Terengganu.

"Apa yang menarik adalah walaupun PAS Terengganu memasukkan pelaksanaan hudud semasa manifesto Barisan Alternatif sebelum 2008, ia tidak menjadikan PAS dan PKR menang lebih banyak kerusi di peringkat DUN.

"Bukankah ini satu petunjuk pengundi di Terengganu meletakkan kepentingan kepada isu lain berbanding pelaksanaan hudud?" katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata sekiranya PAS berkeras mahu melaksanakan hudud sebelum PRU13 lalu maka sokongan orang Melayu kepada PR akan berkurangan - TMI

Universiti Antarabangsa Albukhary Tak Jadi Tutup


Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) di Alor Setar, Kedah menarik balik keputusan untuk menutup operasinya, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pihak pengurusan institusi pengajian tinggi swasta itu kepada kementerian melalui sepucuk surat semalam.

"Universiti tersebut menghantar surat kepada Kementerian Pendidikan untuk menarik balik keputusan penutupan operasi mereka semalam dan ia akan terus beroperasi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana pada program Wacana Intelekual 2014 'Renaisans Melayu' di Auditorium RTM di sini Khamis.

Oleh yang demikian, perkara itu kini tidak lagi menjadi satu isu, katanya.

Mengenai faktor yang membawa keputusan penutupan AiU di peringkat awal pula, beliau berkata kementerian sentiasa memantau dan memastikan tidak ada perkara yang terkeluar daripada akta-akta tertentu bagi universiti swasta.

Ketika ditanya berhubung prestasi AiU, Idris berkata ia adalah isu yang berlainan namun kementerian sentiasa memantau supaya ia memenuhi kehendak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Mengulas berhubung pelajar AiU yang menyaman institusi itu, beliau berkata ia adalah isu dan masalah yang dihadapi antara kedua-dua pihak.

Pada 15 April lepas, enam pelajar AiU memfailkan saman terhadap universiti itu atas dakwaan gagal memberi notis penutupan AiU dalam tempoh yang ditetapkan oleh Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang memperuntukkan AiU perlu mengeluarkan notis penutupan dalam tempoh setahun.

Operasi universiti yang ditubuhkan oleh Yayasan Albukhary itu dilaporkan akan ditutup Jun ini.

AiU dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana beroperasi secara wakaf iaitu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penuntut yang rata-rata daripada golongan miskin dari seluruh dunia. - Bernama.

PRK Bukit Gelugor : Wajarkah BN Meletakkan Calon?

SHAH ALAM: Adalah sukar bagi BN menggugat kedudukan DAP di Parlimen Bukit Gelugor memandangkan parti itu berjaya memperoleh majoriti undi selesa pada PRU13 lalu.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, sudah tiga penggal DAP menguasai Parlimen itu dan ternyata mereka berjaya meningkatkan majoriti undi sejak 2004.
“Peningkatan majoriti yang mendadak membuktikan rakyat di kawasan itu menerima baik pimpinan DAP yang diterajui oleh Karpal Singh.
“Pada 2004, Karpal berjaya memperoleh majoriti undi sebanyak 1,261 undi. Beliau terus mendapat sokongan baik apabila menang selesa dengan majoriti besar iaitu 42,706 undi pada PRU13 lalu,” katanya, semalam.
Menurut Sivamurugan, bukan sahaja sokongan rakyat terhadap parti menjadi faktor kemenangan DAP dalam PRK kali ini, tetapi faktor kematian Karpal yang tragis juga boleh menarik undi simpati orang ramai.
Katanya, soal calon bukan masalah besar buat DAP kerana siapa pun yang diletakkan, parti itu mempunyai peluang cerah.
Sivamurugan turut berpendapat adalah baik BN tidak meletakkan calon mereka kali ini dan lebih memfokuskan sasaran untuk PRU14.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika BN tetap mahu meletakkan calon, medan PRK kali ini boleh menjadi batu ukuran buat mereka khususnya MCA dari segi peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu.
“Di atas kertas peluang BN tipis, hanya bergantung pada bagaimana DAP mengurus isu berbangkit,” katanya.

Kerajaan Tidak Tolak Hudud - Najib




Kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.

“Terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.

“Sebab itulah kita memerlukan ulama dalam kalangan mujtahid untuk memperhalusi dan melakukan ijtihad baharu dalam menentukan pelaksanaan hukum hudud supaya keadilan yang menjadi matlamat mampu ditegakkan,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Ijtimak Pondok Malaysia 2014 di sini hari ini.

Katanya kerajaan menyokong niat baik pihak mana sekalipun untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah Islam yang sejati.

Najib berkata sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersedia untuk melaksanakannya baik dari segi pemahaman, penghayatan, mental mahupun pemikiran.

“Begitu juga dengan masyarakat bukan Islam, perlu diberi kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang hukum-hakam Islam supaya tidak wujud pandangan yang salah terhadap ajaran Islam yang suci ini,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan istiqomah memartabatkan syiar dan syariat Islam dan mengamalkan pendekatan wasatiyyah yang bercirikan keadilan, kecemerlangan dan keseimbangan.

” Kerajaan juga komited melaksanakan Maqasid Syariah dalam sistem pentadbiran negara (menjaga dan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta).

“Sebagai ajaran agama samawi, syariat dan akidah bergandingan menjadi teras dalam Islam. Dalam syariat, inilah intipati teras daripada Allah SWT untuk membimbing manusia dalam mengharungi kehidupan bersosial, berpolitik dan menjalankan misi khalifah di atas muka bumi. Ini termasuklah hukum hudud yang kembali hangat diperbincangkan,” katanya. – BERNAMA

Wednesday 23 April 2014

Anwar Ibrahim Ubah Kenyataan Hadis




Ketika ceramah tersebut, Anwar memberi contoh Rasulullah turut bangun, tunduk dan diam ketika jenazah Yahudi lalu di hadapan baginda dan ianya dipraktikkan Anwar pada majlis penyemadian Karpal.

“Rasulullah SAW sedang bicara bersama sahabat. Aada jenazah yahudi yang semasa hayatnya memusuhi Islam, baling najis kepada Nabi. maki hamun.

“Kemudian bila jenazah (Yahudi tersebut) dibawa depan Rasulullah, Baginda bangun, tunduk dan berhenti bercakap," kata Anwar.

Jelas Dr Asri, penceramah seharusnya lebih peka dalam pengguaan hadis dalam ucapan mereka dan tidak seharusnya bertindak secara melulu dengan menokok tambah bagi menjustifikasikan sesuatu terutama dalam hal politik.

"Jangan pula ada yang menokok tambah hadis untuk menjustifikasikan tindakan politik tertentu.

"Jenazah bukan muslim dihormati dengan cara yang Islam ajar kita, tidak memerlukan 'penambahan sendirian berhad' keatas riwayat yang sahih. Pihak berkenaan hendaklah menarik balik penambahan tersebut," tegasnya.

Tidak Adil Bila Anwar Tidak Dapat Bertemu Obama


PKR kesal apabila lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia pada Sabtu ini tidak mempertemukan dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausahanya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai sebuah negara yang menjuarai dan mempromosikan amalan demokrasi, kebebasan dan keadilan, Obama sepatutnya prihatin terhadap keperluan pertemuan tersebut.

"AS maklum pada PRU lepas, kerajaan BN membentuk kerajaan hanya melalui undi popular 47 peratus, PR pula perolehi 52 peratus undi popular.

"Ia sudah tentu memberikan satu perhatian pentadbiran Obama bahawa sokongan rakyat Malaysia kepada PR," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut lawatan Obama ke Asia termasuk Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Filipina pada akhir bulan ini dan dijangka memberi fokus terhadap beberapa isu dua hala serta serantau.

Antara isu yang akan dibincangkan dalam pertemuan antara Presiden Amerika itu dengan pihak Malaysia termasuk hubungan perniagaan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan perdagangan dua hala.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Obama ke Malaysia selepas kunjungan bekas Presiden Lyndon Johnson pada 1966.

Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, pertemuan itu digesa dilakukan bukan bertujuan mahu melibatkan Obama campur tangan dalam pentadbiran negara ini sebaliknya menghormati amalan demokrasi. -SH

Ketua Polis Pulau Pinang Dedah Lim Guan Eng Berbohong

Polis Pulau Pinang menempatkan lebih 50 pegawai dan anggota bertugas sepanjang empat hari tempoh memberi penghormatan terakhir hingga pembakaran mayat Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh di Krematorium Batu Gantung di Georgetown, Ahad lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata selain menjaga lalu lintas pihaknya turut menempatkan pegawai dan anggota polis di rumah mendiang di Jalan Utama, di Georgetown serta dua balai polis bergerak di perkarangan Dewan Sri Pinang ketika mayat mendiang dibawa ke situ untuk penghormatan terakhir.

“Saya telah mengarahkan anggota trafik bertugas dari mula mayat mendiang tiba di Juru dan mengiringi hingga ke rumahnya di Jalan Utama dan dalam masa sama dua pegawai bersama 20 anggota polis trafik ditugaskan menjaga kawasan berkenaan (rumah Karpal Singh).

“Mereka ditugaskan di situ bagi melancarkan lalu lintas di sekitar kawasan berkenaan dan menjaga ketenteraman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-207 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan kerajaan negeri membidas polis yang didakwa gagal hadir seperti yang dirancang untuk mengawal orang ramai yang bersesak-sesak di Dewan Sri Pinang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Karpal Singh pada Ahad.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata kerajaan negeri akan melakukan post-mortem berhubung perkara itu.

Abdul Rahim berkata dua pegawainya termasuk Pemangku Ketua Polis Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri DSP Abdul Rahim Md Din menghadiri mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan jadual perjalanan upacara penghormatan terakhir di Dewan Sri Pinang dan persemadian Karpal Singh.

Beliau berkata dua pegawai dan 20 anggota trafik bertugas pada hari Ahad iaitu semasa perjalanan mayat Karpal Singh untuk ke Krematorium Batu Gantung dan lebih 10 anggota polis berpakaian preman bertugas sepanjang tempoh orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Abdul Rahim berkata anggota trafik yang bertugas itu diletakkan di setiap persimpangan jalan mayat mendiang diarak menuju ke krematorium iaitu Lebuh Farquhar, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Larut, Jalan Burma, Jalan Perak, Jalan Macalister, Jalan Residensi, Jalan Utama dan Jalan Scotland.

“Sepanjang tempoh (membawa mayat Karpal Singh) perjalanan begitu baik dan tidak berlaku sebarang kesesakan teruk. Sehingga hari ini kami juga tidak menerima sebarang laporan polis sama ada berlaku kekecohan atau sebagainya.

“Jadi saya tidak faham mengapa kerajaan negeri kata kami tidak menempatkan anggota polis dan saya nafikan perkara itu. Kami ada gambar-gambar untuk buktikan polis jalankan tugas, polis telah jalankan tugas untuk kepentingan masyarakat,” katanya.

Karpal Singh, 74, bersama pembantu peribadinya, Michael Cornelius, 39, maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Ahad lepas.

-Bernama

#MH370 : Penulis Kanada Dakwa Amerika Tembak Jatuh Pesawat

Seorang bekas eksekutif syarikat minyak yang kini seorang penulis telah menyatakan bahawa Amerika mungkin telah menembak jatuh Penerbangan Malaysia Airlines MH370 - dan kini cuba untuk menutupinya. 

Menulis di dalam OpEdNews.com, John Chuckman, mantan ketua pakar ekonomi untuk sebuah syarikat minyak yang besar di Kanada, mengutarakan pertanyaan: 

"Kemungkinan bahawa Amerika Syarikat telah menembak jatuh pesawat MH370, sama ada secara sengaja atau tidak, dan kini mahu menutup rahsia tersebut? Dakwanya lagi , tentera Amerika mempunyai beberapa radar paling canggih di bumi, dan tanpa keraguan lagi, pemasangan radar yang berkeupayaan paling canggih di pangkalan rahsia Diego Garcia di Lautan Hindi. 

Bagaimana boleh tidak ada maklumat? Kita tidak perolehi data dari mereka, tetapi kita dibekalkan maklumat daripada pihak lain yang kurang kemampuannya terhadap apa yang berlaku.

"Kemungkinan untuk memperolehi bangkai pesawat yang penuh, sekalipun jika lokasinya ditemui, dari empat batu di dalam laut di antara pergunungan bawah laut, sebaik-baiknya pada kedudukan yang amat terpencil, menjadikan Amerika Syarikat boleh tetap yakin bahawa bukti fizikal pesawat tidak mungkin akan dapat ditemui. 

Chuckman yang berasal dari Chicago, meneruskan: "Tidak ada yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap tindakan tersebut sekurang-kurangnya untuk tiga peristiwa, yang mana amat dikesalkan, tentera Amerika pernah menembak jatuh pesawat-pesawat awam. 

Syarikat Penerbangan Iran 655 telah ditembak jatuh pada tahun 1988 oleh USS Vincennes di perairan Iran semasa Perang Iraq-Iran, bukan sahaja telah mengorbankan 290 orang termasuk 66 kanak-kanak, tetapi wujud satu tempoh yang amat lama selepas itu untuk Amerika kemudiannya membuat pengakuan tidak bersalah, tiada tawaran permohonan maaf, dan tiada pampasan untuk mangsa (hanya selepas 8 tahun kemudiannya pampasan dibuat secara sulit). 

Kedua, merupakan satu himpunan keadaan dan ketidakadilan yang ganas yang tidak dipersoalkan terhadap motif pengeboman Penerbangan Pan Am 103, yang telah membunuh 259 orang dan 11 di darat, pada tahun yang sama oleh orang-orang masih tidak diketahui. 

Kemudian ketiga, Penerbangan TWA 800 di pantai Timur Amerika Syarikat merupakan mangsa terhadap peluru berpandu Amerika yang telah secara tidak sengaja dilepaskan. 

Bukti-bukti termasuklah kesan radar dan terdapat saksi mata. Tetapi Amerika Syarikat, bukannya mahu mengakui kesilapan yang dahsyat itu dan membayar pampasan kepada mangsa, tetapi telah mengambil masa yang amat panjang untuk hasil siasatan yang melucukan diketuai oleh FBI, pihak yang sama yang telah menghasilkan hasil siasatan yang lucu terhadap pembunuhan Kennedy. 

"Saya tidak tahu apa halnya (juruterbang atau ada perampas?) mematikan komunikasi MH370, menukar haluan, dan kemudian terbang rendah, tetapi saya tahu bahawa peristiwa tersebut tidak mungkin berada di luar pengetahuan mata dan telinga para tentera risikan Amerika.

"MH370 hilang semasa terbang di antara Kuala Lumpur dan Beijiing pada 8 Mac dengan 239 orang di dalam pesawat. Pencarian selama enam minggu di Lautan Hindi, di mana pakar-pakar percaya pesawat itu terhempas, sehingga kini masih belum menghasilkan apa-apa jawapan terhadap nasib pesawat berkenaan. 

Ia mungkin akan kekal satu lagi "teka-teki, diselubungi dengan misteri, di dalam satu enigma," ungkapan yang digunakan oleh Winston Churchill untuk menggambarkan kegiatan Kesatuan Soviet satu ketika dulu, dan kini ungkapan itu amat sesuai terhadap sebahagian besar daripada kegiatan-kegiatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat. Sumber - OpedNews/Mirror

Tun Daim Sifatkan Anwar Ibrahim Sebagai "Kaki Goreng"


Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘kaki goreng’ kerana mendakwa mempunyai bukti kukuh tentang penyelewengan yang beliau lakukan di luar negara.

Katanya, jika Ketua Pembangkang itu mempunyai bukti berhubung perkara itu, Anwar sepatutnya membuat laporan terperinci kepada pihak berkuasa dan bukannya memperbesar-besarkan isu yang tidak sahih.

"Dia (Anwar) ketika itu berjumpa dengan Presiden Tanzania dalam sesi pelaburan dan bertanya tentang aset saya. Presiden itu berkata, memang saya ada bank di Tanzania, jadi apa masalahnya?

"Anwar lepas dibuang daripada parti, semua dia kata tak betul, jadi apa yang dibuat masa dalam parti? Anwar ini ‘kaki goreng’," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bicara Petang yang dianjurkan oleh Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir dan Pengerusi Biro SME Perdasama, Datuk Norizan Bakar.
Daim diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa beliau mempunyai akaun di luar negara hasil penyelewengan semasa beliau dalam Kabinet.

Daim menjelaskan, pada tahun 1999 ketika Anwar dalam Kabinet, Ketua Pembangkang itu pernah membuat laporan dan melakukan siasatan ke atasnya.

"Siasatan berdasarkan salinan surat-surat yang saya serahkan padanya. Tetapi, dia potong nama saya, dan dia kata memperoleh surat itu sendiri. Saya telah dua kali disiasat tentang pemilikan aset.

"Masa tu dia (Anwar) Menteri Kewangan dan juga pengerusi tentang rasuah. Kenapa tak ambil tindakan? Lepas kena buang daripada parti UMNO, semua dia kata tak betul," jelas beliau.

Beliau juga mempersoalkan dakwaan Anwar yang menyatakan mempunyai beberapa kotak mengandungi dokumen penyelewengan oleh tokoh-tokoh politik.

"Tetapi sehingga kini tidak ada apa yang didedahkan oleh ketua pembangkang itu," katanya.

Sumber

(Video) GST Lebih Efisyen Berbanding SST #TolakGST

Tuesday 22 April 2014

Catuan Air Diteruskan Berikutan Empangan Sungai Selangor Kritikal

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneruskan catuan air berikutan paras air di Empangan Sungai Selangor berada pada tahap kritikal dan bekalan air yang ada hanya mampu bertahan 29 hari lagi, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata sehingga 20 April, empangan itu mencatat paras air 89.29 juta meter padu atau 38.82 peratus berbanding 235.32 juta meter padu jika ia penuh.
Berikutan itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) pada masa ini sedang giat meneroka kolam-kolam bekas lombong terutama di kawasan lembangan Sungai Selangor bagi tujuan mengepam air mentah dari kolam takungan bekas lombong ke Sungai Selangor.
Dengan cara ini, pelepasan air dari empangan Sungai Selangor dapat dikurangkan dan air di empangan mampu bertahan lama.
LUAS dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada masa ini turut menjalankan aktiviti mengepam air sungai hasil hujan lebat di hilir untuk ditakungkan ke kolam-kolam sekitar Empangan Sungai Selangor untuk digunakan pada musim kering nanti.
Selain itu, kaedah pembenihan awan dikenali sebagai ‘royal rain making technology’ juga akan digunakan untuk mendapatkan hujan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di negeri ini.

Monday 21 April 2014

Pemahaman apologetik – Benih pluralisme agama


Sejak kebelakangan ini, kita sering terbaca artikel atau status facebook tentang satu persoalan yang penting, bolehkah bukan Muslim selamat dari neraka? Jawapan “apologetik” yang disampaikan di artikel-artikel dan status facebook berkenaan telah mengelirukan ramai orang sama ada di kalangan orang Islam mahupun bukan Islam. 
Mungkin ada teman-teman kita yang bukan Islam mula berbicara, “berdasarkan penerangan ustaz A ini, kita tidak perlu masuk Islam kerana belum sampai hujjah Allah ke atas kami. Mana contoh di kalangan orang Islam yang berakhlak mulia seperti rasul kamu? Tidak ada contoh negara Islam yang baik. Pemimpin-pemimpin Islam pula di kalangan orang Islam sendiri dikatakan pecah amanah dan tidak adil. Kalau ikut ustaz A dan ustaz B yang terkenal itu, Allah tidak akan mengazab kami kerana hujah belum memadai di Malaysia. Mungkin kami yang masuk syurga sekalipun kami bukan Islam sebab kami seorang yang baik dan jujur manakala pemimpin kamu akan ke neraka sebab mereka pecah amanah.”
“Malah, kamu tak layak panggil kami kafir kerana kami tidak menerima dan melihat ajaran Islam yang sebenar. Kafir ini satu penghinaan kepada kami.”
Memang berat andai kata persoalan tersebut dilontarkan kepada kita terutama orang awam.
Malah apabila kita fikirkan, apakah mesej sebenar para ilmuan Islam tersebut? Adakah mereka bermakna untuk mengatakan bahawa “wahai penganut agama lain, jangan risau. Tidak mengapa mati dalam agama kamu kerana Allah Maha Pengampun jika umat Islam tidak menyampaikan kepadamu Islam yang sebenar. Engkau tidak berdosa, umat Islam yang berdosa. Teruskan berada dalam agamamu.”
Saya yakin itu bukan niat mereka kerana sesiapa yang mempelajari tentang Islam akan mengenali bahawa sesungguhnya kita tidak mengenali dakwah sedemikian dari lipatan seerah Rasulullah saw mahupun perjalanan hidup para sahabat dan para tabiin sendiri. Sesungguhnya dakwah yang disampaikan ketika Rasulullah saw di Mekah adalah jelas dan terang tanpa ada kompromi sedikit pun terhadap keesaan Allah swt dan kebenaran ajaran Islam.
Erti seorang muslim
Kita harus bertanya semula apakah ertinya menerima Islam itu? Apakah ia bererti apabila seseorang yang mengucapkan ungkapan-ungkapan berbahasa Arab, walaupun tidak memahami makna yang terkandung dalam ucapan mereka, layak disebut seorang Muslim? 
Jawapannya tidak. Erti menerima Islam adalah bahawa seseorang wajib dengan penuh kesedaran dan kesengajaan menerima apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Muhammad saw dan bertindak sesuai dengan ajaran tersebut. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka ia adalah seorang Muslim dan barangsiapa yang tidak berbuat demikian, ia bukanlah seorang Muslim.
Perbezaan muslim dan kafir
Setiap Muslim percaya bahawa seorang Muslim lebih tinggi darjatnya daripada seorang kafir. Allah senang terhadap seorang Muslim dan benci kepada orang kafir. Seorang Muslim akan memperoleh keselamatan daripada Allah, sedangkan seorang kafir tidak. Seorang Muslim akan masuk ke syurga manakala seorang kafir akan masuk ke neraka. Inilah janji Allah.
Maka marilah kita fikirkan, mengapa ada perbezaan yang begitu besar antara seorang Muslim dan seorang kafir? Padahal seorang kafir adalah juga keturunan Adam. Mereka juga manusia. Mereka juga punya tangan, kaki, mata dan telinga. Mereka pun bernafas dengan udara yang sama, minum air yang sama dan hidup di bumi yang sama. Allah juga adalah Penciptanya juga. Maka, mengapakah darjatnya rendah dan darjat seorang muslim tinggi? Mengapa yang Islam semua nanti akan ke syurga dan yang menolak Islam ke neraka?
Perbezaan besar antara seorang Muslim dan seorang kafir bukan hanya kerana nama, bukan hanya kerana seorang dikhatan atau tidak, bukan kerana seorang makan khinzir atau tidak. Allah yang Maha Kuasa, tidak mungkin bertindak sedemikian kejam mendiskriminasikan antara makhluknya semata-mata kerana kerana perbezaan tersebut.
Jawapannya hanyalah satu, yakni kerana Islam dan kufr. Islam bererti kepatuhan kepada Allah sedangkan kufr bererti keengkaran kepada Allah. Orang Islam dan orang kafir kedua-duanya adalah manusia dan hamba Allah. Namun satu berkedudukan mulia kerana ia mengakui Allah itu Esa, mematuhi perintah-Nya dan takut akan hukuman apabila melanggar batasan-Nya. Manakala yang kafir terperosok dari kedudukan kemuliaan tersebut kerana ia mempersekutukan Allah dengan sesuatu dan tidak melaksanakan perintah-Nya. Itulah sebabnya Allah senang dengan orang Muslim dan benci kepada orang kafir.
Asas perbezaan – Pengetahuan dan perbuatan
Daripada huraian di atas jelaslah ada dua asas yang membezakan antara seorang Muslim dengan seorang kafir. Yang pertama adalah pengetahuan dan yang kedua perbuatan. 
Pengetahuan bererti bahawa seorang Muslim harus tahu dan mengiktiraf siapa Tuhannya, apa perintah-perintahNya, bagaimana cara-cara untuk menuruti kehendakNya, perbuatan-perbuatan mana yang disukaiNya dan mana yang tidak disukaiNya. Bila ia sudah tahu akan hal-hal tersebut, maka langkah yang kedua ialah bahawa ia harus menjadikan dirinya sebagai hamba dari Tuhannya, melaksanakan kehendak-Nya dan mengabaikan kemahuan-kemahuannya sendiri. 
Inilah pengetahuan dan perbuatan yang menjadikan seorang Muslim sebagai hamba Allah yang sejati, yang mendapat limpahan rahmatNya serta kedudukan yang luhur dan mulia. Islam tidak lain adalah penghambaan seseorang semata-mata kepada Allah. Ia sama-sekali tidak mengikuti kemahuannya sendiri atau rakan parti politik atau kemahuan nenek-moyang atau kemahuan keluarga dan kaumnya atau kemahuan sesiapapun yang lain selain kehendak Allah semata-mata.
Seseorang yang tidak ingin menjadi seorang Muslim, tidak dapat dipaksa untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kemahuannya, ia bebas memeluk agama apa pun yang disukainya dan menyebut dirinya dengan sebutan apa pun yang disukainya. 
Tetapi seseorang yang menyebut dirinya sebagai seorang Muslim mesti tahu dan mengerti bahawa ia hanya dapat dan tetap menjadi seorang Muslim selama ia berada dalam ikatan Islam. Ikatan Islam itu ialah menerima Al-Quran dan As-Sunnah Rasul sebagai landasan kebenaran dan keadilan serta memandang segala sesuatu yang bertentangan dengannya sebagai kebatilan. Islam adalah rahmat kerana aqidah yang dibawanya menyelamatkan manusia daripada kesesatan tersebut. Barangsiapa yang tetap tinggal dalam ikatan ini adalah seorang Muslim dan barangsiapa yang keluar daripada ikatan ini bererti ia telah keluar dari Islam.
“….Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Surah Al-Ma’idah: Ayat 44).
Pendeknya, nisbah kekufuran seseorang adalah menurut sejauh mana ia telah membangkang terhadap hukum Allah.
Penutup
Sebagai manusia kita harus berhukum berdasarkan kepada apa yang zahir di mata kita. Di situlah hukum syariat Allah. Manakala perkara ghaib itu kita serahkan kepada Allah kerana itulah hak-Nya. Hukum di dunia adalah berdasarkan apa yang zahir manakala hukum di akhirat adalah hak Allah. Kita tidak boleh berhukum berdasarkan andaian kerana ia hanya akan merungkaikan syariat Islam.
Apapun kekurangan umat Islam pada hari ini dan apapun kelemahan pentadbiran pemimpin Islam pada waktu ini tidak harus menghalang kita mengajak manusia ke arah Islam dan melunturkan mesej dakwah Islam. Kita tidak harus bersikap terlalu apologetik dengan niat mahu membuktikan kelembutan Islam sehingga menerangkan kepada masyarakat yang bukan Islam bahawa mereka berpeluang untuk ke syurga sekalipun tidak memeluk Islam. Niat baik tersebut sebenarnya tidak membantu menyelamatkan atau membawa manusia ke arah satu-satunya agama yang diredhai Allah. Malah, ia hanya menggalakkan penyuburan pemahaman pluralisme lalu mereka terus kekal sesat di dalam agama mereka di atas keyakinan bahawa semua agama adalah sama di sisi Allah swt.
Benarlah firman Allah swt, Al-Imran 19-20:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.”