Tuesday 26 June 2012

Malaysia Diiktiraf Negara Paling Selamat


JOHOR BAHARU - Malaysia diiktiraf oleh badan antarabangsa World Justice Project sebagai negara yang paling selamat di kalangan 19 buah negara berpendapatan sederhana tinggi di dunia.
  
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata, malah Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang ke-12 paling selamat secara keseluruhan mengatasi Amerika Syarikat dan Britain.
  
"Program GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, contohnya Global Peace index telah menempatkan Malaysia di tempat pertama selamat dan aman di Asia Tenggara serta keempat aman di kawasan Asia Pasifik," katanya.
  
Katanya, sehubungan itu rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman dan selamat.
  
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup taklimat isu-isu semasa keselamatan di sini, hari ini'.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN Bahagian Pendaftaran dan Imigresen Datuk Wan Ali Besar.
  
Beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mendapati, hasil tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu juga, kadar ketakutan rakyat negara ini terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun 2010 kepada 21 peratus pada tahun lepas.
  
"Mungkin ramai yang bertanya apakah kesan semua ini kepada negara. Sebenarnya kesannya amat besar sekali, sebagai contoh pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia telah melonjak kepada kedudukan ke-10 tahun lepas berbanding kedudukan ke-21 pada tahun 2010.
  
"Ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap iklim politik, keselamatan serta kestabilan negara ini," katanya.
  
Beliau berkata, keadaan itu memberikan gambaran bahawa apa yang dirancang oleh KDN selama ini dalam mengurangkan kadar jenayah telah menampakkan hasil.
  
Kementerian itu, katanya, akan meneruskan usaha untuk mencari jalan dan kaedah bagi memastikan peratusan penurunan kadar jenayah indeks dan jenayah jalanan lebih besar daripada apa yang disasarkan. - Bernama

Pesan Abu Ubaidi : Tanggung jawab kita untuk mewarisi nikmat keamanan ini kepada anak cucu generasi yang terkemudian

Wednesday 20 June 2012

PRU ke 13: Barisan Nasional Kekal Memerintah

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mungkin mengekalkan 137 kerusi Parlimen yang dikuasainya sekarang dengan margin lima peratus lebih atau kurang, tetapi tidak cukup mencapai majoriti dua pertiga, menurut kajian dan analisis terperinci Centre of Strategic Engagement (CENSE). Kajian terbaru itu menunjukkan masih ramai yang bergantung kepada kekuatan dan organisasi jentera pilihan raya BN.

 “Berdasarkan sentimen semasa, ramalan CENSE ialah BN mungkin akan kehilangan 10 kerusi di kawasan pilihan raya yang didominasi kaum Cina di Johor, Sabah dan Sarawak. “Media Cina telah membuat pendirian tegas tentang ‘kekejaman polis’ ketika Bersih 3.0 dengan mencetak akhbar dengan warna hitam dan putih, dan menggalakkan wartawan dan mereka yang bersimpati memakai pakaian hitam pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia,” katanya. Ia berkata tindakan itu telah meletakkan kerusi Cina di Johor, Sabah dan Sarawak lebih terancam kedudukannya bagi BN.

Sebaliknya, CENSE berkata terdapat peningkatan sokongan pengundi Melayu, kira-kira lapan peratus sejak 2008, yang akan menyaksikan sokongan di kawasan pengundi Melayu dan di kerusi yang didominasi pengundi Melayu dan campuran, terutama bagi Umno. Berikutan itu, parti pembangkang yang mungkin terjejas adalah PKR. Pusat itu berkata faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 termasuk – sentimen, isu, kepimpinan, infrastruktur, logistik, pembiayaan dan jentera kempen, dan kempen juga akan menunjukkan jika jentera BN benar-benar menyesuaikan lanskap baru politik, yang didominasi pembangkang, perang siber.

 “Pembangkang tahu cara memainkan sentimen orang ramai dan mengakui kuasa media sosial untuk menyampaikan kepada pengundi muda. BN, sebaliknya, mempunyai kelebihan dengan logistik dan infrastruktur jenteranya, terutama di kawasan luar bandar di Sabah, Sarawak, Pahang dan sebahagian kawasan di Johor,” katanya. Tetapi, BN dilihat memiliki jentera pilihan raya lebih kukuh kerana ia lebih tersusun dan ditadbir oleh andaian yang lebih realistik berbanding 2008.

“Bagaimanapun, apa yang membimbangkan BN kali ini adalah moral yang rendah di kalangan anggota parti dan pekerja di kawasan majoriti pengundi Cina atau di kerusi campuran di mana pengundi Cina merupakan sebahagian besar pengundi asal,” katanya. Sehubungan itu, ia percaya BN cukup realistik untuk menyedari ia tidak boleh merampas Pulau Pinang dan Kelantan daripada pembangkang tetapi berharap untuk mengekalkan Perak serta mengambil semula Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun, peluang untuk menawan semula Selangor adalah tipis. Dalam laporan itu, CENSE juga berkata walaupun peralihan pengundi Melayu kepada Umno, tetapi ia masih 50:50. Ini adalah kerana pengagihan kerusi pilihan raya di negara ini yang berdasarkan kaum. Justeru, peningkatan pengundi Melayu akan meningkatkan margin majoriti tetapi ia tidak bermakna lebih banyak kerusi oleh dimenangi.

“Dengan alasan sama, lebih ramai pengundi Cina untuk pembangkang juga mempunyai kesan yang terhad kerana ia hanya terbatas di kerusi majoriti Cina seperti Seputeh di Wilayah Persekutuan, Petaling Jaya Utara di Selangor, Kota Kinabalu di Sabah dan Kuching di Sarawak,” katanya. “Laporan itu juga menunjukkan cabaran terbesar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam BN adalah bagaimana untuk menterjemahkan populariti beliau kepada undian untuk Umno dan BN, terutama di kawasan bukan Melayu dan di kawasan bercampur di Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

 Beliau masih memerlukan sokongan kumpulan minoriti untuk parti beliau bagi memastikan keputusan lebih baik berbanding 2008. CENSE juga berkata berdasarkan kajian mereka selepas perhimpunan Bersih 3.0 28 April, golongan Melayu telah memberi sokongan kuat kepada Umno, bermakna Umno harus memenangi lebih daripada 79 kerusi pada pilihan raya akan datang.

Analisis daripada penganjuran Bersih 3.0 juga menyatakan isu kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun akan menjadi sebahagian daripada arus perdana politik manakala kuasa media sosial tidak boleh diperlekehkan dalam mobilisasi khalayak yang besar. Ini tanpa mengira sama ada ia untuk menunjukkan perpaduan tulen atau semata-mata pengalaman kebebasan demokrasi.

Kajian CENSE juga menunjukkan sebahagian pengundi Cina kekal tidak terpengaruh dengan Bersih 3.0 berikutan ‘kekecewaan’ berterusan tentang isu yang telah lama wujud seperti sistem penyampaian yang lemah, tadbir urus dan meritokrasi. Bersih 3.0 mungkin, pada tahap terbaik telah mempengaruhi pengundi Cina yang tua agar kembali semula kepada BN kerana bimbang potensi berlaku rusuhan dan kekacauan.

Laporan itu juga berkata tidak semua golongan kelas pertengahan Melayu bersedia untuk menukar kerajaan dan ini boleh memberi tip undian memihak Umno. – Bernama

Sunday 17 June 2012

Isu Altantuya Adalah Fitnah - Zulkifli Noordin

Perutusan Perdana Menteri Sempena Israk Mikraj 1433 Hijrah

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia, Saudara dan saudari sekalian,

1.         Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk bertemu bulan Rejab, dengan harapan akan disusuli dengan Syaaban seterusnya menikmati kemuliaan beribadah di bulan Ramadhan. Sesungguhnya, 27 Rejab secara tradisinya membawa ingatan kita kepada satu peristiwa agung yang tiada taranya, iaitu Peristiwa Israk dan Mikraj. Biarpun kisah ini berlaku melebihi 1400 tahun yang lalu, tetapi kerelevanan dan kepentingannya adalah amat signifikan buat umat Islam.

2.         Sememangnya, ini adalah sesuai dengan apa yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran apabila Allah SWT memaktubkan peristiwa agung Israk melalui firman-Nya dalam surah al-Israa^ ayat pertama yang bermaksud:-
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

3.         Sebaiknya, selain kita mengagumi peristiwa ini secara harfiah, adalah lebih afdal kiranya kita menjadikannya pedoman bagi mendepani cabaran semasa umat hari ini. Sebagaimana para nabi telah disatukan untuk berimamkan Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, demikianlah kita perlu bersatu untuk mempertahan serta menegakkan agama Islam.

4.         Kita juga mestilah mengiktibari peristiwa Israk dan Mikraj ini untuk mengukuhkan akhlak kita sebagai seorang muslim yang unggul terutamanya melalui solat dan ibadah-ibadah yang lain. Rasulullah SAW sentiasa menyeru kita agar menjaga solat dan akhlak. Akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral oleh segelintir umat Islam kini berpunca daripada solatnya yang tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Justeru, pelaksanaan solat yang khusyuk berupaya menjadi benteng untuk mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak umat Islam bagi menghadapi segala serangan sosial masa kini.

5.         Menyaksikan apa yang berlaku di luar negara, kita seharusnya bersyukur dengan kestabilan sosial, politik dan ekonomi yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita. Ini semua memerlukan dukungan dan peranan semua pihak. Syukur Alhamdulillah, baru-baru ini kita telah  dinobatkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dalam Indeks Keamanan Global. Justeru, saya menyeru segenap lapisan masyarakat agar menyokong usaha-usaha kerajaan dan mengambil bahagian dalam membina persekitaran negara yang aman dan selamat.

6.         Sesungguhnya, institusi masjid yang menjadi teras di dalam peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj ini telah mengingatkan umat Islam dengan ikatan erat mereka dengan Masjidil Aqsa dan Baitulmaqdis. Dunia menyaksikan, bagaimana Malaysia terus istiqamah dengan pendirian kita menentang kezaliman dan keganasan rejim zionis Israel di Palestin tanpa berdolak-dalik.

7.        Akhirul kalam, saya dan keluarga mengajak semua umat Islam di negara ini bersama-sama mengiktibari Peristiwa Israk dan Mikraj ini. Semoga penghayatan kita kepada peristiwa hebat ini menjadikan hari esok kita lebih baik daripada hari ini. Insya-Allah.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,


Saturday 16 June 2012

Ibadat Haji: Kenyataan Mufti Perak Mengundang kemurkaan Nik Aziz

SHAH ALAM – Ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima wajib dilaksanakan bagi mereka yang mencukupi syarat dan ia tidak boleh ditangguhkan hanya kerana pilihan raya. Pilihan raya bukanlah syarat ibadat haji perlu ditangguhkan kerana syarat menetapkan dalam menunaikan ibadat haji boleh ditangguhkan dan dikecualikan antaranya disebabkan sakit dan keadaan tidak aman.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, haji wajib bagi umat Islam yang berkemampuan seperti ada bekalan sepanjang berada di sana, tahap keselamatan yang baik dan tidak berada dalam keadaan nyawa terancam. Menurutnya, bakal jemaah haji juga perlu mampu menyediakan bekalan dan nafkah yang mencukupi kepada ahli keluarganya yang ditinggalkan.

 “Umat Islam yang mencukupi syarat wajib haji perlu menunaikan ibadah haji kerana sekiranya ditangguhkan, ditakdirkan bakal haji meninggal dunia pada waktu tersebut, kematian itu dalam keadaan seorang Yahudi atau Nasara,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya (Pas) menangguhkan niat mereka menunaikan haji pada tahun ini bagi memfokuskan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Harussani berkata, perkara itu disebutkan dalam salah satu hadis Nabi Muhammad SAW. “Ia disebutkan dalam hadis dan menunjukkan kematian dalam keadaan sedemikian cukup berat. Jika kita meninggal dunia dalam keadaan mati seorang Yahudi atau Nasara, maka kematian tersebut dalam keadaan dosa besar,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataannya berkata, haji bukan ibadah yang perlu disegerakan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya pada musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam.

Harussani berkata, kita tidak boleh menyatakan hukum pergi haji tidak perlu terburu- buru dan boleh ditangguhkan kerana sesiapa yang cukup syarat, maka wajib mereka menunaikan ibadat haji.

Tuesday 12 June 2012

Tun Mahathir Dilantik Sebagai Penasihat Ekonomi Yaman: Mengapa Tidak Anwar Ibrahim?


Perdana Menteri Yaman Mohamed Salem Basendowah mempelawa bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir Mohamad menjadi penasihat ekonomi khas negara itu. Kedutaan Besar Malaysia di Sana'a telah mengesahkan dan Dr Mahathir dijangka akan berkunjung ke Yaman dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin pemerintah dan pembangkang, pegawai kanan kerajaan serta seorang pegawai Bank Dunia.

Beberapa penyokong kuat pembangkang dilihat tidak senang dengan pengiktirafan negara Yaman kepada Tun Mahathir kerana bagi mereka Anwar Ibrahim dilihat pemimpin dari Malaysia yang paling layak menjadi penasihat ekonomi berbanding Tun Mahathir, ciri-ciri kepimpinan dan juga model Buku Jingga sudah pasti mampu membangunkan negara seperti Yaman berbanding model pembangunan yang dibuat oleh Tun Mahathir dan Barisan Nasional.

Abu Ubaidi hanya mampu tersenyum serta memikirkan bagaimana buku Jingga boleh dijadikan model ekonomi yang boleh dicontohi oleh negara luar? atau mereka ingin melihat Anwar Ibrahim memberi tunjuk ajar bagaimana mengurus tadbir kewangan agar dapat disalurkan kepada kroni secara sistematik sepertimana beliau mengkayakan Azmin Ali dan kroninya.

Wednesday 6 June 2012

Wajib Menyertai Demonstrasi Bersih???



Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa menyertai demonstrasi Bersih boleh jatuh ke tahap hukum “wajib” bagi umat PAS, kononnya demi menentang “kezaliman dan kemungkaran”.

Nik Aziz turut memberikan contoh sebuah hadis Rasulullah SAW mengenai seramai 70 wanita yang datang bertemu Baginda dan mengadu bahawa mereka telah dizalimi apabila dipukul suami mereka.Rasulu...llah SAW telah mengeluarkan arahan agar suami tidak memukul isteri dan menceritakan kepada para sahabat RA mengenai isteri-isteri yang datang “berdemontrasi” meminta pembelaan.
DAN BENARKAH PARA WANITA TERSEBUT DATANG MENGGANAS DI HADAPAN RASULLULLAH SAW DAN MENGHANCURKAN HARTA BENDA AWAM DI MADINAH ? TERANG-TERANG AGAMA ALLAH TELAH DIJUAL BELI DEMI KEUNTUNGAN POLITIK SEMPIT.. BERSHIT DISAMAKAN DENGAN HADIS TADI... SEDIH BETUL AKU..

BERSIHKAH???

Saturday 2 June 2012

Mensyukuri Nikmat Hidup di Malaysia


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


KALAULAH kita boleh duduk dan tenang-tenang sebentar. Kemudian ambil masa sedikit hirup udara segar. Dan renung-renungkan betapa bernasib baik dan beruntungnya kita tinggal di bumi Malaysia bertuah ini.

Bukan memaksa, tapi cubalah.

Barangkali, tentu dan akan ada ungkapan 'apa aku kisah' kerana apa sahaja prasarana, kemudahan asas sehinggalah penyaluran subsidi 'itu memang tanggungjawab kerajaan. Kerajaan banyak duit dan itu adalah duit rakyat'. Dan memang wajarlah ia dibelanjakan oleh kerajaan untuk rakyat. 'Itukan hak rakyat'.

Demikian juga dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan barangkali apa sahaja yang berkaitan dengan pengumuman peruntukan, antaranya Felda, Belanjawan Negara dan dan apa sahajalah...'itu duit rakyat'. Boleh diterimakah tanggapan sebegini?

Untuk pergi jauh menjengah isu ini, maka marilah kita luangkan sedikit masa sekejap menilai fakta-fakta seterusnya ini.

Ya! kita tidak seperti negara-negara tetangga di rantau ini.

Di Indonesia, kerajaannya hanya memberi subsidi untuk golongan berpendapatan rendah. Antaranya, beras (gred rendah), gas LPG (berat tong 3 kilogram) dan petrol RON88. Lain-lain produk tidak disubsidikan atau dijual pada harga pasaran.

Thailand pula hanya memberi subsidi untuk diesel bagi golongan nelayan manakala Singapura tidak memberi apa-apa subsidi kepada mana-mana barang atau produk keperluan harian.

Kadar tanggungan subsidi bagi setiap negara jiran tidak diketahui.

Malaysia - berasaskan fakta, mempunyai tanggungan subsidi tertinggi berbanding negara jiran. Negara ini menanggung subsidi bagi tujuh barang keperluan seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, petrol, diesel, LPG dan termasuk bil elektrik, pendidikan dan kesihatan.

Dalam aspek ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah diberikan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk melaksanakan Program Penyeragaman Harga di pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi tahun ini.

Peruntukan ini bertujuan membiayai perkhidmatan transporter yang telah dilantik untuk mengedar dan membekalkan barang keperluan bersubsidi iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, Beras Nasional, gas memasak (LPG 14 kg), petrol dan diesel bagi memastikan masyarakat di pedalaman menikmati faedah subsidi kerajaan.

Sebagai contoh di Ba'kelalan, Sarawak, harga gas memasak sebelum pelaksanaan projek adalah RM70/tong, gula RM5/kg, beras nasional RM45/kg, petrol dan diesel RM5.50/liter. Harga selepas projek pula dilaksanakan mematuhi harga ditetapkan kerajaan iaitu bagi gas memasak adalah RM26.60/tong, gula RM2.50/kg, beras nasional RM18/kg, petrol RM1.90/liter dan diesel RM1.80/liter, setelah kerajaan menanggung kos pengangkutan yang tinggi.

Pelaksanaan program ini membantu golongan sasaran yang berpendapatan rendah di kawasan pedalaman hidup dengan kos sara hidup yang rendah. Sepanjang pelaksanaan program penyeragaman harga ini (2009-2011), sejumlah 1.77 juta penduduk (Semenanjung, sabah dan Sarawak) telah memperolehi manfaat penjimatan boleh guna hasil daripada penyeragaman harga kawalan ini.

Kawasan yang dipilih bagi pelaksanaan projek adalah berdasarkan kedudukan harga runcit barang keperluan pengguna di tempat berkenaan melebihi 15% daripada harga kawalan kerajaan.

Kesukaran penduduk tempatan mendapatkan barang keperluan adalah disebabkan oleh keadaan muka bumi dan kos pengangkutan yang tinggi, menyebabkan barang keperluan menjadi mahal.

Contohnya, di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan jalan berturap dan hanya menggunakan kenderaan pacuan 4 roda sahaja yang mampu melalui kawasan tersebut. Terdapat juga kawasan yang hanya boleh dihubungi melalui jalan air seperti sungai, tasik dan laut.

Barang keperluan yang dibekalkan di sesuatu kawasan tersebut adalah untuk kegunaan penduduk setempat dalam komuniti berkenaan sahaja. Contohnya seperti kegunaan petrol dan diesel bagi bot sangkut persendirian, set penjana elektrik, mesin padi dan jentera-jentera persendirian.

Langkah kawalan harga barangan perlu oleh kerajaan merupakan faktor penyumbang kepada pengekalan kadar inflasi yang sederhana di negara ini. Ia telah dapat memastikan harga barangan perlu adalah lebih rendah berbanding dengan negara-negara jiran di rantau ini.

Kawalan harga telah memberikan impak yang minimum ke atas harga barang-barang perlu dalam negara walaupun harga makanan dan komoditi di pasaran dunia semakin meningkat.

Bagaimana peranan rakyat untuk memanfaatkan konsep subsidi barangan ini supaya ia bukan suatu pembaziran kepada kerajaan dan benar-benar menyumbang kepada ekonomi dalam negara?

Kerana itu, rakyat perlu 'mengubah cara hidup' ke arah kesederhanaan dan berbelanja mengikut kemampuan dan secara berhemah.